Pandangan Jawatankuasa Pendidikan IKRAM Mengenai Kes Cikgu Azizan

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan IKRAM, Prof Dr Omar Bin Yaakob, merangkap Pengerusi Pendidikan IKRAM Musleh.

19 Dis, Seri Kembangan - Berdasarkan fakta, Cikgu Azizan, seorang Guru Penolong Kanan HEM, telah menangkap murid tersebut sedang menghidu gam dan sedang merekrut pelajar lain menghidu gam dalam kawasan sekolah. Murid tersebut melawan, berlaku pergelutan dan Cikgu Azizan telah menampar murid tersebut. Mengikut rekod, murid tersebut juga pernah didapati melakukan kesalahan membuli, memukul murid lain dan ponteng sekolah dengan memanjat pagar sekolah.

Tindakan Cikgu Azizan menampar murid tersebut tidak wajar kerana bertentangan dengan PERATURAN-PERATURAN PELAJARAN (DISIPIN SEKOLAH) 1959 di bawah ORDINAN PELAJARAN 1957. Hal ini dikuatkan lagi dengan peringatan melalui surat pekeliling ikhtisas Bil. 7/2003 yang mana menghadkan hukuman kepada murid hanyalah boleh dilakukan oleh Guru Besar/Pengetua atau guru yang telah diberi kuasa dengan syarat-syarat tertentu.

Bagi kes-kes sebegini, sebaiknya dirujuk kepada Pengetua/ Guru Besar.

Di pihak lain, ibubapa sepatutnya mendapatkan penjelasan lebih lanjut dari pihak sekolah dan berbincang untuk mendapatkan penyelesaian terbaik mengenai masalah yang dihadapi.

Gejala guru menampar murid dan ibu bapa serta penjaga menyaman guru adalah petanda negatif di sekolah dan perlu di atasi segera dari akar umbi. Kes ini juga menunjukkan gejala negatif menghidu gam dalam kalangan murid-murid sekolah di peringkat parah. Murid-murid bukan sahaja melakukan kesalahan tersebut di luar kawasan sekolah tetapi juga dalam kawasan sekolah. Malah murid-murid berkenaan mempengaruhi rakan-rakan mereka.

Kita bersimpati dengan guru-guru yang bertugas dalam keadaan tertekan, dengan pelbagai kes disiplin dan sahsiah yang berlaku serta harapan atau kehendak ibu bapa dan masyarakat yang kian mencabar, menyebabkan mereka terpaksa mengambil tindakan tegas dan keras yang kadangkala melepasi batas peraturan.

Saranan:

Semua pihak perlu bekerjasama sepenuhnya di dalam menjayakan sistem pendidikan. PIBG dan pihak sekolah perlu bekerjasama dengan lebih erat . PIBG juga perlu turut bertindak sebagai medium antara pihak sekolah dan ibubapa dalam memastikan iklim kemenjadian murid benar-benar kondusif. Ibu bapa terlibat secara aktif dalam program dan aktiviti sekolah serta bukan bersikap berlepas tangan.

Pastinya, usaha para guru hanya akan berhasil sekiranya semua pihak bekerjasama sepenuhnya.

Misalnya kepimpinan sistem pendidikan mendidik murid-murid dengan akhlak, adab dan nilai-nilai murni secara berkesan; ibu bapa terlibat secara aktif dalam program dan aktiviti sekolah serta bukan bersikap berlepas tangan dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dengan kes-kes disiplin yang dilaporkan.

Guru juga perlu lebih profesional dalam menjalankan amanah yang diberikan. Mengambil tindakan fizikal kepada murid bukanlah suatu perkara yang boleh diambil ringan. Guru seharusnya memahami peraturan dan undang-undang sedia ada dalam sistem pendidikan kita.

Kita bersyukur kerana kini Cikgu Azizan telah dibebaskan. Semoga peristiwa ini menjadi iktibar kepada semua pihak.


Prof Dr Omar Yaakob
Pengerusi 
Jawatankuasa Pendidikan