Debat Musleh: Mengetengahkan Isu-Isu Semasa yang Lebih Relevan

 

 

30 April, KUIS - Alhamdulillah. Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) dan Pendidikan IKRAM Musleh Bhd telah menganjurkan Kejohanan Debat Antarabangsa Pelajar MUSLEH 2018 (MUSLEH International Students Debating Championship 2018) pada 26hb-28hb April 2018 (Khamis-Ahad) di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Bangi dan program tersebut telah pun melabuhkan tirainya semalam. Kejohanan empat hari ini akan dianjurkan bersama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan International Centre for Educational Excellence (ICEE).

Kejohanan ini bertujuan untuk menjadi medan bagi membentuk sifat yakin diri para pendebat melalui kemampuan berhujah dan mempertahankan hujah dengan cara beradab, penuh berhikmah dan boleh diterima pihak lawan. Kepetahan dan kefasihan serta teknik pemikiran yang kritis digabungkan secara bersama dalam menyampaikan perdebatan dengan sempurna. Kejohanan ini juga akan menjadi medan pertemuan, perbincangan dan perkongsian pengalaman di antara penyelidik, penggiat, pengusaha dan pihak yang berkepentingan dalam sistem pendidikan Islam negara dan serantau.

Tujuh puluh tujuh buah pasukan daripada sekolah-sekolah di Malaysia, Singapura, Afrika Selatan dan Indonesia telah menghantar penyertaan dan telah berdebat atas tema-tema yang meliputi politik, ekonomi, alam sekitar, sosial, sukan, kesihatan dan pendidikan. Kejohanan ini dibuka kepada tiga kategori iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab. Kejohanan ini berdasarkan format debat ala-Parlimen Malaysia yang mengaplikasikan sistem "power match" berkumpulan yang lazimnya digunakan dalam pertandingan-pertandingan antara universiti di peringkat antarabangsa. 

Majlis Perasmian Penutupan dan penyampaian hadiah akan disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dr. Hj Azhar Hj Ahmad, Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Malaysia, mulai 3.30 petang Ahad 29 April 2018; bertempat di Dewan Utama, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Bangi. 

Jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus menjayakan MISDC 2018 khususnya kepada Pengarah Program, Cik Maryam Liyana Ahmad Termizi dan kepada semua team yang terlibat.

Tahniah juga diucapkan kepada pasukan debat dari SMI Al-Amin Gombak kerana telah mampu mara ke semi final walaupun persaingan sungguh sengit untuk tahun ini dan kita juga telah melihat begitu banyak peningkatan prestasi kemampuan pelajar-pelajar Musleh berbanding tahun-tahun lalu walaupun tidak berjaya mara ke peringkat akhir. Perbezaan markah antara juara dengan naib juara dalam ketiga-tiga kategori sangat tipis.

Berikut adalah senarai nama pemenang bagi ketiga-tiga kategori yang dipertandingkan dalam MISDC 2018 yang lalu.

Kategori Debat Bahasa Melayu 
Champion: SDAR
Runner up: SAMTEN

Kategori Debat Bahasa Inggeris
Champion: MCKK
Runner up: SDAR

Kategori Debat Bahasa Arab
Champion: Madrasah Al-Sagoff, Singapura
Runner up: Madrasah Al-Junied, Singapura