Isu Pendidikan Islam Isu Bersama

Sepang – “Kita perlu menyatukan hati. Bukan sahaja sesama Muslim bahkan juga dengan bangsa lain. Sentiasa duduk bersama. Kita makan bersama dan bekerja bersama,” saran YB Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Bin Malik dalam ucaptama beliau yang bertajuk “Pendidikan Islam dan Revolusi Perindustrian 4.0” sebelum beliau merasmikan majlis pembukaan Persidangan Islamic Education Foresight and 4th Industrial Revolution 2018 (iFIRST2018) anjuran bersama Kedutaan Amerika Syarikat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Pendidikan IKRAM Musleh Berhad (IKRAM Musleh) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pagi tadi di Movenpick Hotel and Convention Centre KLIA di hadapan kira-kira 90 orang tetamu yang hadir termasuk para peserta persidangan daripada pelbagai latar belakang pendidikan.

Beliau turut menyebut dalam ucapannya mengenai usaha SMI Hidayah Johor Bahru yang telah saban tahun melakukan aktiviti silang budaya antara para pelajarnya dengan para pelajar Sekolah Menengah Foon Yew dan menggalakkan semua institusi pendidikan untuk mencontohi usaha ini.

“Individu Muslim hari ini harus menjadi contoh. Muslim bukan lagi hanya memberikan respons dan menyesuaikan diri dengan perubahan tetapi harus menjadi pemimpin dan menunjukkan jalan” tambah beliau lagi. 

Ucapan beliau itu adalah bagi menyambut baik usaha pihak Kedutaan Amerika Syarikat dalam memartabatkan pendidikan Islam. Dalam ucapannya, Duta Besar Amerika Syarikat, Puan Yang Terutama Kamala Shirin Lakhdir berkata, “Mengapa kami berusaha bersungguh-sungguh menganjurkan pelbagai program dan mengambil berat tentang pendidikan Islam ini? Hal ini adalah disebabkan kerana kami fokus kepada kesan jangka panjang. Kami ingin membentuk masyarakat yang lebih baik. Kami banyak belajar daripada kalian dan begitulah juga sebaliknya.”

Dalam kesempatan yang sama, beliau turut mempromosikan pelbagai program yang dianjurkan oleh pihak Kedutaan Amerika Syarikat seperti Program Bahasa Inggeris di Rompin, Pahang, di Tawau, Sabah dan yang terbaru akan diadakan di sekolah-sekolah rangkaian IKRAM Musleh di Kelantan. Selain itu, pihak kedutaan juga ada menganjurkan program Youth Exchange Students (YES) yang menawarkan program pertukaran pelajar selama 6 bulan kepada para pelajar Tingkatan 5 untuk menetap bersama keluarga angkat di sana dan belajar di sekolah-sekolah yang terdapat di Amerika Syarikat.

“Kedutaan Amerika Syarikat juga telah genap 10 tahun menjalankan program International Visitor Leadership Program (IVLP) dan sebahagian pesertanya ada di dalam dewan ini dan saya mengucapkan selamat datang kepada semua alumni IVLP,” ujar beliau sambil disambut dengan tepukan gemuruh.

Beliau turut menyatakan hasrat beliau agar generasi akan datang bukan sahaja perlu menjadi orang yang bijak tetapi juga perlu memberi sumbangan kepada masyarakat.

Sebelum itu, Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa pendidikan Islam seharusnya kekal relevan kepada generasi kemudian dalam mendepani cabaran era milenium. Beliau turut menyatakan harapan pihak penganjur agar persidangan ini mampu menjadi platform kepada para pendidik dan cendiakawan untuk meneroka wawasan baru Pendidikan Islam pada masa akan datang selain berkongsi pendapat dan pandangan dalam usaha mendidik anak bangsa yang bukan sahaja mantap dari sudut intelek dan kemahiran tetapi juga mempunyai hubungan yang hebat dengan Allah.

Turut hadir dalam majlis pembukaan berkenaan ialah Pengarah Eksekutif IKRAM Musleh, Ustaz Megat Mohamed Amin Bin Megat Mohamed Nor dan Presiden ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim. Persidangan yang membawa tema Meneraju Pendidikan Islam yang Holistik dalam Menghadapi Masa Depan ini akan berlangsung bermula hari ini hingga 13 Disember 2018.

Gambar ihsan: USIM