Memanusiakan Manusia Melalui Teladan, Contoh

Ustaz Megat Mohamed Amin Bin Megat Mohamed Nor
 
Kuala Lumpur - Dalam strategi memanusiakan manusia, menjadi contoh teladan atau qudwah hasanah merupakan langkah yang terutama dan sangat berkesan seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. sendiri, menurut Pengarah Eksekutif IKRAM Musleh, Ustaz Megat Mohamed Amin Bin Megat Mohamed Nor.
 
Beliau berkata demikian sewaktu menjadi tetamu dalam Slot Islam Rahmatan lil'Alamin terbitan TV Al-Hijrah dengan tajuk Pendidikan Memanusiakan Manusia.
 
"Sesiapa sahaja mesti menjadi contoh teladan. Menjadi qudwah hasanah. Ibu bapa harus menjadi contoh kepada menusia atau anak-anak mereka kerana anak-anak ini akan melihat dan akan ingat apa yang berlaku. Anak-anak seterusnya akan meneliti dan mencontohi apa yang ditunjukkan oleh ibu bapa," jelas beliau. Selain itu, komitmen, pengorbanan dan kesungguhan ibu bapa dalam mendidik juga turut diperhatikan oleh anak-anak.
 
Sebelum itu, beliau turut menjelaskan bahawa, secara asasnya, ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkan peribadi dan mendidik anak-anak sebagaimana hadith Rasulullah s.a.w., "Setiap anak yang dilahirkan itu adalah umpama kain putih (fitrah), ibu bapalah yang bertanggungjawab mewarnakan dan mencorakkannya, sama ada menjadi Yahudi, Nasrani dan Majusi." 

"Namun begitu, pendidikan tidaklah mampu atau boleh dilaksanakan oleh satu atau dua orang sahaja. Ia haruslah dilakukan oleh semua pihak lain selain ibu bapa itu sendiri. Semua pihak perlu bekerjasama untuk perkara baik ini termasuklah media massa sendiri, kerajaan dan institusi-institusi formal yang lain," tambah beliau.
 
Megat Mohamed Amin turut berkata jika strategi memanusiakan manusia itu ingin ditambah lebih baik lagi, suatu sistem untuk melihat dan menilai kemajuan, pencapaian dan prestasi manusia itu juga harus diwujudkan. Terdapat pelbagai model atau sistem moden hari ini yang telah dicipta untuk tujuan itu dan dari situ, kita perlu kaji dan fikirkan apa langkah seterusnya yang perlu diambil untuk meningkatkan lagi kualiti insan itu.

"Bagi pihak IKRAM Musleh sendiri, kami mempunyai Sistem Pentaksiran Pelajar IKRAM Musleh (SPPIM) yang mana ia telah kita wujudkan untuk melakukan assessment for learning (pentaksiran untuk pembelajaran) dan bukan hanya untuk assessment of learning (pentaksiran tentang pembelajaran). Dalam erti kata lain, kita tahu, pencapaian pelajar adalah begitu, jadi, apa seterusnya yang perlu kita buat?"
 
Beliau memberikan contoh mudah untuk perkara yang dinilai seperti mengemas bilik umpamanya. Bagi tingkatan yang pertama, seorang pelajar telah disuruh berkali-kali untuk mengemas bilik tetapi tidak dilaksanakan. Kemudian, tingkatan yang seterusnya adalah, pelajar tersebut akhirnya mengemas bilik setelah disuruh berkali-kali. Seterusnya, bagi tingkatan yang ketiga, pelajar tersebut apabila disuruh sekali maka beliau terus buat. Selanjutnya, bagi tingkatan yang keempat, atau lebih disebut sebagai 'soleh', seorang pelajar yang tanpa disuruh pun tetap akan mengemas biliknya sendiri. Untuk tingkatan yang terakhir, pelajar tersebut bukan sahaja telah mengemas biliknya tetapi juga turut mengajak rakan-rakan yang lain untuk melakukannya dan tingkatan ini dikenali sebagai 'musleh'. 

"Oleh itu, kita ingin melahirkan manusia yang bukan sahaja soleh atau baik tetapi kita juga ingin melahirkan manusia yang musleh, yang mampu mengajak orang lain untuk sama-sama melakukan kebaikan," ujar beliau mengakhiri perbincangan.