Program Silang Budaya Terap Nilai Hormat, Fahami Perbezaan

Dalam Surah Al-Hujurat, ayat 13, Allah s.w.t. telah berfirman:

“Wahai manusia! Sungguh telah Kami ciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Teliti.”

Ayat ini merupakan ayat yang ditujukan kepada umat sejagat tanpa mengira bangsa dan warna kulit. Allah telah menjadikan kita berlainan rupa, bangsa dan kaum. Ada yang jadi Melayu, Cina, India dan bermacam-macam lagi. Tiadalah lain sebab Allah menjadikan kita demikian selain untuk kenal-mengenal. Ayat inilah juga yang menjadi aspirasi dan hasrat IKRAM Musleh dalam menggalakkan program silang budaya di sekolah-sekolah.

Kita berhasrat memupuk budaya hormat-menghormati, faham-memahami melalui program dan aktiviti silang budaya yang dijalankan seperti yang disebutkan di dalam Surah Al-Hujurat, ayat 13, kata Prof. Dr. Omar bin Yaakob.

Pengerusi Pendidikan IKRAM Musleh itu berkata, program silang budaya sama ada di peringkat sekolah atau di peringkat nasional di sekolah-sekolah rangkaian dan rakan IKRAM Musleh telah dijalankan sejak sekian lama untuk menerapkan nilai hormat menghormati dan meraikan kepelbagaian yang terdapat di negara ini seperti Program Sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa yang telah dijalankan setiap tahun. Program-program seumpama ini bukan sahaja mampu meningkatkan pengetahuan pelajar sekolah mengenai rencam masyarakat majmuk di negara kita bahkan mampu memperkukuh integrasi nasional dan memperkasa agenda perpaduan.

Pelajar-pelajar tanpa mengira bangsa dan agama turut serta dalam Pertandingan Kolaj yang diadakan sempena Sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa pada tahun lalu.

“Sekolah-sekolah IKRAM Musleh telah menjalankan aktiviti silang budaya saban tahun dengan pelbagai sekolah yang lain seperti hubungan yang terjalin antara Sek. Ren. Islam Al-Amin, Paya Besar dengan SJK(C) Kwang Hwa, Sek. Men. Islam Hidayah, Johor Bahru dengan Sek. Men. Pei Chun, Sek. Ren. Islam Al-Azhar, Jitra dengan SRJK (C) Hwa Min, Sek. Men. Islam Al-Amin Gombak dengan Sek. Men. Tsun Jin dan banyak lagi. Selain menjalankan aktiviti silang budaya dengan sekolah lain, para pelajar juga diberikan peluang untuk menyantuni komuniti berbangsa Cina yang tinggal di kawasan berhampiran dengan sekolah mereka sempena perayaan Tahun Baru Cina seperti yang dilaksanakan oleh Sek. Men. Islam Al-Amin, Kemaman baru-baru ini,” tambah beliau lagi.


Para pelajar SMI Al-Amin Kemaman menyantuni komuniti berbangsa Cina di kawasan kejiranan sekolah mereka sempena Tahun Baru Cina yang lalu.

Antara kebaikan yang diperoleh melalui program-program silang budaya seperti ini adalah dapat membantu kita memahami sesuatu budaya sebagai medium yang dapat menghasilkan wacana secara positif dan bermakna kepada anggota masyarakat. Aktiviti silang budaya juga dapat memberikan pendedahan awal kepada para pelajar mengenai realiti kehidupan masyarakat di Malaysia yang berbilang kaum dan saling belajar mengenai budaya masing-masing antara satu sama lain dalam suasana yang harmoni dan aman damai.

Selain itu, bergaul dengan manusia daripada kelompok yang berbeza latar belakangnya boleh mendorong kita menjadi lebih terbuka dan bersedia melihat serta menerima nilai yang baik dan universal dalam sesuatu bangsa atau kaum. Kita tidak akan bersifat statik atau stereotaip kerana dengan memahami budaya lain, boleh menjadikan kita lebih peka dengan anggota masyarakat berlainan budaya dan pada masa yang sama dapat menambah pengalaman dalam mencipta komunikasi yang efektif tanpa rasa prejudis dengan masyarakat berbangsa lain.

Dengan melihat dan mempelajari budaya lain ini juga secara tidak langsung menyedarkan kita mengenai keterbatasan yang ada dalam budaya sendiri dan sekali gus menanam nilai hormat-menghormati terhadap orang lain dan menghargai kepelbagaian.

Kesimpulannya, setiap kaum dan bangsa di negara kita memiliki budaya masing-masing yang unik dan tersendiri. Sikap saling menerima dan memahami perbezaan inilah yang akan merapatkan jurang perbezaan dan membentuk kekuatan kepelbagaian etnik, sekali gus akan menjadi satu kekuatan dan kebanggaan buat negara yang tercinta.