Penampilan Sulung SRI Hidayah JB Membuahkan Hasil

Adlan (empat dari kanan) dan Nabil (tiga dari kanan) dari SRI Hidayah Johor Bahru layak ke MSSJ.
 
Kulai - Dua orang murid dari Sekolah Rendah Islam Hidayah, Johor Baru dinobatkan sebagai Johan dan Naib Johan semasa Majlis Penutup dalam Kejohanan Golf peringkat MSSD yang berlangsung di IOI Palm Villa Club House, Indahpura, Kulai, Johor semalam.
 
Muhamad Adlan Bin M. Nizam dan Mohamad Nabil Banin, masing-masing telah muncul sebagai Johan dan Naib Johan dalam penampilan sulung mereka.
 
Jurulatih, Mohd Jelani Bin Ramly berkata, selain Johan dan Naib Johan, dua lagi penyertaan dari SRI Hidayah Johor Bahru berjaya menduduki tangga ke-8 dan ke-14. Keempat-empat mereka telah dapat menghabiskan pukulan dengan baik sekali manakala Adlan dan Nabil telah terpilih mewakili daerah Johor Bahru ke peringkat seterusnya.
 
Kejohanan tersebut menyaksikan kira-kira 43 orang murid yang datang dari sekitar daerah Johor Bahru berentap merebut kejuaraan dan pingat kejohanan telah disampaikan oleh Tuan Haji Shaharuddin bin Saari, Pegawai Pendidikan Daerah Johor Bahru yang sekaligus telah merasmikan majlis perasmian penutup.