Karnival Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2019 Perkasa Agenda Perpaduan


Para peserta Pertandingan Seni Kolaj bagi kategori sekolah menengah bergambar bersama hasil karya kumpulan masing-masing.


Kuala Lumpur - "Karnival hari ini bukan sahaja untuk pertandingan kolaj dan permainan tradisional antara kaum bahkan pihak penganjur juga telah mengadakan Pertandingan Melukis bagi pelajar tahap 1 sekolah rendah dan Pertandingan Menulis Esei bagi pelajar tahap 2 sekolah rendah sejak bulan Januari lagi. Penganjur utama seperti Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG akan mencari penyertaan dari sekolah-sekolah Cina, Pertubuhan IKRAM Malaysia pula akan mencari penyertaan dari sekolah rendah agama swasta, Jaring Orang Asal Se-Malaysia (JOAS) pula akan mencari penyertaan dalam kalangan pelajar sekolah orang asal dan Tamil Foundation akan mencari penyertaan dalam kalangan pelajar sekolah rendah Tamil," ujar Usharani Sarkunavalu, Pengerusi sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa di Malaysia bagi tahun 2019 semasa memberikan ucapan alu-aluan kepada lebih 700 orang hadirin yang hadir ke karnival berkenaan semalam.

"Bagi aktiviti permainan tradisional, para tetamu yang hadir ke karnival ini diberi peluang untuk mencuba pelbagai permainan tradisional yang ada termasuklah congkak atau bagi masyarakat India dipanggil 'palangguli', batu seremban, simpul cina, cabaran menggunakan kayu penyepit, membuat thoranam dan kolam yang terkenal dalam kalangan masyarakat India serta jak renoi yang terkenal dalam kalangan masyarakat orang asal. Selain itu, tetamu yang hadir juga berpeluang mencuba pelbagai teknik menulis kaligrafi pelbagai kaum seperti, khat, tulisan jawi serta menulis kaligrafi Cina dan Tamil," tambah Usharani.

Beliau turut berkata hasil daripada aktiviti-aktiviti yang disediakan itu, kita dapat lihat satu suasana yang jarang-jarang berlaku seperti mereka yang berbangsa Cina mencuba menulis tulisan khat jawi, yang berbangsa Melayu dan Orang Asal cuba membuat thoranam atau kolam yang terkenal dalam kalangan masyarakat India apabila tiba musim perayaan manakala yang berbangsa India pula cuba bermain batu seremban atau menggunakan kayu penyepit. 

Sebelum itu, Pertandingan Seni Kolaj telah berlangsung pada sebelah pagi dengan tema "Keterangkuman dan Pendidikan Bahasa Ibunda" dan aktiviti ini dikendalikan oleh Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG. Pertandingan ini menerima 80 penyertaan yang mana setiap kaum Melayu, Cina, India dan Orang Asal diwakili oleh 20 orang pelajar dari sekolah-sekolah menengah di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan. Mereka kemudiannya dipecahkan kepada 10 pasukan.

Mei Shya Yap dari LLG, pengendali utama Pertandingan Seni Kolaj itu berkata, apa yang unik mengenai aktiviti ini adalah setiap kumpulan mempunyai 2 orang wakil dari setiap kaum dan setiap daripada mereka berpeluang untuk berkomunikasi sesama mereka dalam bahasa yang mereka selesa gunakan serta berkongsi maklumat mengenai adat dan budaya kaum masing-masing untuk menyiapkan karya kolaj mereka. Selain itu, para peserta juga perlu menerangkan maksud simbol atau lukisan yang terdapat dalam karya kolaj mereka kepada pihak juri. Dari situ, kita dapat saksikan, hampir keseluruhan kumpulan mempersembahkan hasil karya mereka menggunakan 4 bahasa berbeza dan ini pastinya sesuatu yang menarik dan positif dalam usaha kita untuk menyatupadukan rakyat Malaysia terutamanya sejak di bangku sekolah lagi.

Memetik ucapan penutup dari Hj. Zaid Bin Kamaruddin, Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), salah satu rakan strategik pihak penganjur berkata, yang perlu dilihat bukan hanya hasil karya kolaj yang mereka persembahkan tetapi bagaimana para pelajar ini sama-sama berbincang dan sama-sama memutuskan apa yang hendak dipersembahkan dari ahli kumpulan mereka yang terdiri daripada pelajar berbilang bangsa di Malaysia. Beliau yang juga merupakan ahli jawatankuasa Pertubuhan IKRAM Malaysia itu turut memuji usaha pihak penganjur dalam menjayakan karnival yang berlangsung semalam. 

Selain itu, karnival turut dimeriahkan lagi dengan persembahan kalam berirama daripada 4 buah sekolah yang masing-masingnya mewakili bangsa Melayu, Cina, India dan Orang Asal.

Persembahan kalam berirama daripada murid-murid Sekolah Rendah Islam Al-Amin Wangsa Maju. 

Selain karnival yang berlangsung semalam, pihak penganjur Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2019 juga akan mengadakan acara utama pada 21 Februari 2019, Khamis ini bermula jam 6.30 petang. Pelbagai aktiviti menarik akan dibawakan kepada sesiapa yang berminat untuk hadir seperti Forum Belia dengan tajuk "Kepelbagaian Bahasa: Menyatukan atau Memecahkan?" yang menampilkan susuk belia yang tidak asing lagi seperti saudara Muhammad Fikri Ahmad selaku moderator dan panelis-panelis lain seperti Muhammad 'Afifi Ahmad Kamil dari IKRAM Muda, Wong Yan Ke, aktivis belia dari Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Banusha a/p Narenthiran, aktivis dari Tamil Foundation dan Bedul bin Chemai, aktivis belia dari Jaringan Orang Asal Se-Malaysia (JOAS).

Terdapat kira-kira 40 orang pelajar sekolah menengah dan 60 orang pelajar sekolah rendah rangkaian IKRAM Musleh telah hadir ke karnival yang berlangsung semalam. Turut hadir bersama, Ustaz Megat Mohamed Amin Bin Megat Mohamed Nor, Pengarah Eksekutif IKRAM Musleh merangkap Timbalan Pengerusi Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2019.