Guru Bukan Hanya Muallim Tetapi Murabbi - Afeefa Syeed


Para peserta bergambar kenangan bersama Afeefa Syeed (duduk tiga dari kanan), Pengasas Akademi Al-Fatih, Amerika Syarikat.

Seri Kembangan - Pendidikan Islam adalah tentang perubahan ke arah yang lebih baik dan bukan semata-mata mengenai pengetahuan; begitu Afeefa Syeed menjelaskan mengenai konsep pendidikan Islam yang dibawa di akademi yang diasaskannya di Amerika Syarikat, Akademi Al-Fatih. Beliau hadir sebagai tetamu jemputan untuk satu sesi perkongian anjuran Unit Tarbiah IKRAM Musleh di pejabat IKRAM Musleh di sini Selasa lalu. Sesi perkongsian tersebut dihadiri kira-kira 15 orang peserta yang berminat terdiri daripada para pendidik dari sekolah-sekolah rangkaian dan rakan IKRAM Musleh. 

Afeefa yang pernah menerima beberapa anugerah atas sumbangannya dalam dunia pendidikan dan komuniti merupakan seorang ahli antropologi kebudayaan dan pengasas Akademi Al-Fatih di Reston, Amerika Syarikat. Walaupun beliau dilahirkan di Kashmir dalam sebuah keluarga yang kaya, tetapi bapanya sebagai seorang aktivis dan penganjur demonstrasi pelajar pada tahun 1960-an, serta identiti Kashmir dan Muslimnya, menyebabkannya menjadi banduan politik sehingga tahun 1969. Setelah bapanya dibebaskan, keluarganya berpindah ke Amerika Syarikat sewaktu Afeefa berusia 5 tahun dan beliau membesar di Indiana.

Bercerita mengenai asal-usulnya, Afeefa berkata beliau tidak pernah menganggap dirinya sebagai imigran sebaliknya beliau berbangga memiliki identitii-identiti yang semuanya adalah sebahagian daripada dirinya dan begitulah sebenarnya hakikat menjadi orang Amerika yang berbilang bangsa dan mempunyai pelbagai budaya.

"Jadi, misi Al-Fatih adalah untuk memupuk dan melahirkan identiti Muslim Amerika yang berdaya maju namun seimbang dari sudut agama, akademik dan budaya serta mengetengahkan kepentingan penglibatan dalam aktiviti sivik dan kerja amal," lanjut Afeefa.

Jelasnya, dalam usaha ini, pelbagai bentuk dan teknik pembelajaran dan pengajaran telah dicipta bersama dan diaplikasikan secara bersepadu di sekolah. Contohnya, bagi menjelaskan makna sejarah dan contoh teladan (heritage and role-model), sesi pembelajaran telah dihadiri oleh datuk dan nenek para pelajar sendiri untuk berkongsi cerita dan pengalaman bersama murid-murid. Selain itu, bagi menggalakkan para pelajar untuk menghargai dan menghormati rakan sebaya, sekolah telah mewujudkan "buddy bench" berdekatan dengan taman permainan sekolah. Antara fungsi bangku ini adalah sebagai satu tempat khas untuk sesiapa sahaja duduk dan berkenalan dengan rakan baru (tidak dibenarkan duduk bersama rakan yang telah dikenali), atau sebagai satu tempat untuk menjadi orang yang paling baik (tidak dibenarkan mengucapkan kata-kata yang melukakan atau tidak beradab). 

Buddy Bench. Sumber: https://www.facebook.com/alfatihacademy/

Dalam perkembangan yang berkaitan, beliau turut berkongsi mengenai 6 nilai teras (core value) yang dipegang dan menjadi matlamat pendidikan Islam di Akademi Al-Fatih seperti niat (intention), akhlak (good character), ukhuwwah (community), tenang dan sejahtera (serenity and peace), ilmu dan amal (knowledge and action) serta khalifah dan amanah (stewardship and responsibility). Keenam-enam nilai teras ini menjadi asas dalam kesemua proses pengajaran dan pembelajaran di akademi ini dan kesemua aktiviti yang dilaksanakan bukan hanya melibatkan para pelajar bahkan juga ibu bapa dan masyarakat setempat.

"Kami memiliki persetujuan bersama ibu bapa bahawa mereka juga perlu sama-sama komited dan bekerjasama dengan pihak sekolah dalam mendidik anak-anak. Selain ibu bapa, murid-murid juga didedahkan dengan peranan mereka dalam masyarakat setempat. Contohnya, ada antara aktiviti pembelajaran yang dijalankan menggunakan konsep Pembelajaran Berasaskan Tempat (place-based learning) yang mana para pelajar memastikan kebersihan sesuatu kawasan seperti laluan pejalan kaki contohnya. Jadi, kawasan tersebut dijadikan kawasan 'angkat' sekolah dan dipastikan kebersihannya sepanjang masa. Sehinggakan jika terdapat sebarang isu mengenai kebersihan di kawasan tersebut, komuniti setempat akan merujuk kepada para pelajar Akademi Al-Fatih," ujar beliau sambil tersenyum.


Para pelajar bersama laluan angkat mereka. Sumber: https://www.facebook.com/alfatihacademy/

Afeefa percaya bahawa semua orang Islam bukan hanya perlu beperanan sebagai penyebar kesejahteraan kepada manusia sejagat tetapi mereka sendiri perlu menjadi  'yang sejahtera' itu. Beliau mengumpamakan impak pendidikan Islam itu seperti sebatang pokok yang sangat tinggi namun akarnya tidak sepanjang batang pokok tersebut sebaliknya menjalar merata di dalam tanah dan ada sebahagiannya menumbuhkan pokok yang baru. 

Beliau berkata, "Seorang guru bukan hanya seorang muallim (a conveyer of knowledge) tetapi juga seorang murabbi (nurturer of souls)."

"Hakikatnya, dalam pada kita meninggalkan impak yang besar dalam diri anak-anak murid kita, kita juga sebenarnya meninggalkan impak yang besar buat diri kita sendiri," ujar beliau di akhir perkongsian. 

Turut hadir bersama dalam sesi ini Ustaz Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor, Pengarah Eksekutif IKRAM Musleh dan Dr. Azma Mahmood, Ketua Unit Pendidikan Awal Kanak-Kanak IKRAM Musleh.