SMAH Ipoh Ingin Lahirkan Pelajar Berkemahiran Robotik, Kuasai Teknologi

Taiping - Tiga pelajar Sekolah Menengah Islam Al-Hidayah (SMAH) Ipoh berjaya mara ke peringkat kebangsaan dalam ReroMicro Robotic Challenge 2019 anjuran MDEC dan Cytron Technologies selepas berjaya memperoleh markah 90 daripada 100 markah sekaligus berjaya membawa pulang Gold Award dalam pertandingan tersebut bagi Kategori Sekolah Menengah yang telah berlangsung pada 13 Julai lalu di ADTECH di sini. Uwais Ferdaus, 15, Muaz Hassan, 15 dan Muhd Umar Ismail, 16 penuntut Tingkatan 3 dan Tingkatan 4 berjaya menewaskan kira-kira 20 buah sekolah lain yang turut menyertai pertandingan tersebut bagi kategori sama.

Menurut ketua jurulatih pasukan, Nurain Md Nor, "Ketiga-tiga pelajar yang mewakili sekolah ini juga sudah sebulan menjalani latihan yang turut dibantu oleh jurulatih-jurulatih yang lain. Tujuan latihan ini adalah untuk menguasai pengaturcaraan pada robot dengan menggunakan komputer agar robot dapat mengikut arahan pergerakan yang telah diaturcarakan oleh pelajar menggunakan komputer."

"Walaupun terdapat beberapa cabaran yang terpaksa dihadapi seperti kelajuan capaian internet yang agak rendah di kawasan sekolah dan makmal komputer sekolah juga perlu dikongsi dengan pelajar-pelajar lain, para pelajar tidak berputus asa dan sentiasa memberikan fokus dalam latihan," ujar Nurain.

Gembira dan berpuas hati dengan pencapaian pasukan, Uwais, Muaz dan Umar juga mendapat sokongan dan galakan daripada keluarga masing-masing. 

"Kami berasa sangat gembira dan bersyukur atas kemenangan ini dan akan berlatih dengan bersungguh-sungguh lagi untuk menang di peringkat kebangsaan pula," jelas Uwais.

Ditanya mengenai perancangan terdekat pihak sekolah dalam bidang robotik ini, Nurain menjelaskan SMI Al-Hidayah akan komited untuk melatih pelapis baharu supaya pelajar lain juga dapat merasai pengalaman mengendalikan dan mencipta pengaturcaraan robotik menggunakan komputer. 

Pasukan ini akan bertanding di peringkat kebangsaan pada 19 September 2019 yang berlangsung di Nilai, Negeri Sembilan.

Sementara itu, dalam satu pertandingan lain, SMAH Ipoh turut menjuarai Pertandingan Rekacipta Inovasi Teknologi Hijau Peringkat Daerah Kinta Utara bagi Saringan Pertama yang telah berlangsung pada 17 Julai lalu di Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, Kinta di bawah kelolaan Sekolah Menengah Kebangsaan Pinji, Kinta anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kinta Utara.

 

Ahmad Ahlul Hikam Buang, 16, Aina Maisarah Abd Kursi, 14 dan Anfaal Mohd Fahmy, 14 telah berjaya menghasilkan satu bentuk sumber tenaga baharu yang mereka namakan sebagai Exertricity dan akan mempertandingkan teknologi ini di peringkat daerah Kinta Utara. 

Menurut ketua jurulatih pasukan, Muhamad Helmi Adam yang juga bertugas sebagai guru matematik di sekolah berkenaan, exertricity ini merupakan gabungan antara "exercise" dan "electricity".

"Teknologi ini memerlukan kayuhan untuk menghasilkan elektrik. Elektrik yang dihasilkan mampu mengecas peralatan elektrik yang memerlukan voltan sebanyak 5 volt. Tujuan utama pasukan ini memilih senaman berbasikal adalah untuk menggalakkan pengguna melakukan aktiviti yang sihat dan pada masa yang sama menghasilkan tenaga elektrik daripadanya. Projek ini sangat mesra alam," jelas beliau.

Mengambil masa kira-kira dua bulan untuk para pelajarnya menyiapkan projek berkenaan, Helmi mengakui bahawa sumber untuk para pelajar mereka memperoleh bahan amat terhad selain ruang masa yang ada amat singkat.

"Kami sendiri berasa sangat bersyukur atas kemenangan yang tidak disangka-sangka ini dan sangat berterima kasih kepada semua penasihat pasukan kami yang telah banyak membantu kami dalam menyiapkan projek ini. Pun begitu, ini baru permulaan. Insya Allah kami akan berusaha untuk meningkatkan lagi usaha dalam manaiktaraf projek ini dan berharap dapat mara ke peringkat seterusnya sekaligus dapat mengharumkan nama sekolah," ujar Ahlul Hikam. 

Sekolah Menengah Islam Al-Hidayah, Ipoh telah mula beroperasi sejak 1997 dan merupakan salah sebuah sekolah menengah rangkaian IKRAM Musleh yang berdaftar di bawah Enakmen Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Perak.