KENYATAAN MEDIA : ELAKKAN PEMIKIRAN LIBERAL MEWARNAI DEBAT PELAJAR

 

IKRAM Musleh ingin merujuk kepada program Debat Pelajar Piala Tun Razak 2019 anjuran Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Negeri Sembilan pada 11-13 Oktober 2019.

 

IKRAM Musleh sangat kesal dengan tajuk kategori Bahasa Inggeris yang telah diberikan kepada para pendebat sebagai pilihan kepada perdebatan seperti di bawah ini. Kedua-dua tajuk ini telah menghina kemuliaan kitab suci al-Quran dan keunggulan syariat Islamiah.

 

Kedua-dua tajuk adalah:-

(b) Given the ability to rewrite the Quran, this House, as moderate Islamic scholars, would republish a new version of Quran with contents vulnerable to to radical misinterpretation removed.

(c) A solid irrefutable evidence was found which proves that being homosexual is not a sin in Islam. There is no direct commandment from God regarding this, and it is instead a law decreed thousands of years ago from ijtima whose judgements were clouded by inherent homophobia. This House would not disclose this evidence.

 

Tajuk (b) memberi keraguan ketara ke atas kesucian ayat-ayat al-Quran sebagai kalamullah dan menyamakan ayat-ayat al-Quran dengan penulisan manusia. Sesungguhnya al-Quran adalah kalamullah Rabbul a’lamin (Surah As-Sajdah:2; Surah al-Isra’: 106)

 

Tajuk (c) memberi keraguan ketara mengenai kejelasan hukum pengharaman homoseksualiti dalam syariat Islamiah. Hakikatnya homoseksualiti adalah penyimpangan seks dan perbuatan keji yang dapat merosak akal pikiran dan akhlak manusia. Perbuatan homoseksualiti adalah diharam dalam Islam.

 

IKRAM Musleh menegaskan bahawa pihak penganjur program iaitu  SDAR Seremban sewajib mengambil tanggungjawab penuh di atas kesalahan besar ini dan mereka wajib memohon maaf dengan penuh penyesalan. IKRAM Musleh memohon agar tajuk bernuansa liberal seperti tersebut dihindarkan pada masa akan datang.

 

IKRAM Musleh menyeru  semua pihak, khususnya mereka yang bertanggungjawab dalam dunia Pendidikan, agar memastikan agama Islam tidak dipersenda dan isu-isu sensitif tidak disentuh dalam program begini.

 

Dengan ini dicadangkan juga agar Kementerian Pendidikan Malaysia mengeluarkan garis panduan tentang skop dan tajuk yang diadakan dalam pertandingan debat yang melibatkan pelajar sekolah.

 

 

Ustaz Megat Mohamed Amin Bin Megat Mohamed Nor

Pengarah Eksekutif

Pendidikan IKRAM Musleh Berhad (IKRAM Musleh)

15 Oktober 2019