SMI Al-Amin Gombak Rangkul 2 Perak 1 Gangsa

Gombak - Sempena Karnival STEM Sekolah-sekolah Menengah peringkat daerah Gombak yang telah berlangsung pada 11 Julai lalu di SBPI Gombak, Sekolah Menengah Islam Al-Amin Gombak telah berjaya membawa pulang 2 pingat perak dan 1 pingat gangsa dalam Pertandingan Pelancaran Roket yang telah dianjurkan. 

Karnival anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Gombak yang berlangsung sejak 8.00 pagi hingga 5.00 petang itu menyaksikan Wan Aiman Arshad Wan Abdullah, Muhammad Al-Ksysyaf Mohamad Nor dan Muhammad Irsyad Fauzi masing-masing merangkul pingat gangsa untuk Kategori Sesaran Terbaik, pingat perak untuk Kategori Payung Terjun Berbeban Terbaik dan pingat perak untuk keseluruhan Pertandingan Pelancaran Roket. 

 

Terdahulu, dalam Pertandingan Debat Antara Sekolah-Sekolah 2019 yang melabuhkan tirainya pada 8 Julai yang lalu, Salahuddin Yusuf Al-Ayyubi dari SMI Al-Amin Gombak telah dinobatkan sebagai pendebat terbaik bagi kategori Bahasa Melayu manakala Muhammad Iman Hazim pula dinobat pendebat kedua terbaik.

Syabas dan tahniah buat SMI Al-Amin Gombak atas kejayaan-kejayaan ini.

Sumber foto: https://www.facebook.com/smiaag 

Memanah: Qaid, Adlyn dari SRI Hidayah JB Mara ke Peringkat Kebangsaan

Pontian - Dua daripada lima orang murid dari Sekolah Rendah Islam Hidayah, Johor Bahru telah berjaya mara ke peringkat kebangsaan selepas menunjukkan aksi cemerlang semasa mewakili daerah Johor Bahru bagi sukan memanah dalam Kejohanan MSSJ 2019 yang berlangsung pada 20 hingga 22 Jun 2019 yang lalu. Kejohanan selama 3 hari itu telah diadakan di Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Johor dan telah menyaksikan seramai lebih kurang 1152 orang murid berkumpul dari seluruh negeri Johor untuk menyertainya.

Sufbri Karmin, jurulatih pasukan memanah SRI Hidayah Johor Bahru melahirkan rasa gembira apabila kelima-lima pemanah dari SRI Hidayah Johor Bahru telah menunjukkan aksi cemerlang dalam setiap pusingan.

"Alhamdulillah, semuanya dapat menghabiskan panahan dengan baik sekali. Dua daripada mereka; Qaid dan Aleeya Adlyn layak mewakili negeri ke peringkat kebangsaan nanti," lanjut Sufbri.

Gagal disaingi 11 daerah yang lain, pasukan memanah dari daerah Johor Bahru telah memperoleh keputusan terbaik keseluruhan dan dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi sukan memanah di Kejohanan MSSJ 2019.

Berikut adalah keputusan rasmi yang dimenangi oleh para pemanah dari SRI Hidayah Johor Bahru:

1. Muhd Qaid
- Individual Qualification Round (Gangsa)
- Team Qualification Round (Perak)
- Team Elimination Round (Perak)

2. Alif Mifzal
- Team Qualification Round (Perak)
- Team Elimination Round (Perak)

3. Muhd Khairuzzikri
- Team Qualification Round (Perak)
- Team Elimination Round (Perak)

4. Aleeya Adyln
- Individual Qualification Round (Emas)
- Team Qualification Round (Emas)
- Team Elimination Round (Emas)

5. Nur Humairah Uzma
- Team Qualification Round (Emas)
- Team Elimination Round (Emas)

Guru Bukan Hanya Muallim Tetapi Murabbi - Afeefa Syeed


Para peserta bergambar kenangan bersama Afeefa Syeed (duduk tiga dari kanan), Pengasas Akademi Al-Fatih, Amerika Syarikat.

Seri Kembangan - Pendidikan Islam adalah tentang perubahan ke arah yang lebih baik dan bukan semata-mata mengenai pengetahuan; begitu Afeefa Syeed menjelaskan mengenai konsep pendidikan Islam yang dibawa di akademi yang diasaskannya di Amerika Syarikat, Akademi Al-Fatih. Beliau hadir sebagai tetamu jemputan untuk satu sesi perkongian anjuran Unit Tarbiah IKRAM Musleh di pejabat IKRAM Musleh di sini Selasa lalu. Sesi perkongsian tersebut dihadiri kira-kira 15 orang peserta yang berminat terdiri daripada para pendidik dari sekolah-sekolah rangkaian dan rakan IKRAM Musleh. 

Afeefa yang pernah menerima beberapa anugerah atas sumbangannya dalam dunia pendidikan dan komuniti merupakan seorang ahli antropologi kebudayaan dan pengasas Akademi Al-Fatih di Reston, Amerika Syarikat. Walaupun beliau dilahirkan di Kashmir dalam sebuah keluarga yang kaya, tetapi bapanya sebagai seorang aktivis dan penganjur demonstrasi pelajar pada tahun 1960-an, serta identiti Kashmir dan Muslimnya, menyebabkannya menjadi banduan politik sehingga tahun 1969. Setelah bapanya dibebaskan, keluarganya berpindah ke Amerika Syarikat sewaktu Afeefa berusia 5 tahun dan beliau membesar di Indiana.

Bercerita mengenai asal-usulnya, Afeefa berkata beliau tidak pernah menganggap dirinya sebagai imigran sebaliknya beliau berbangga memiliki identitii-identiti yang semuanya adalah sebahagian daripada dirinya dan begitulah sebenarnya hakikat menjadi orang Amerika yang berbilang bangsa dan mempunyai pelbagai budaya.

"Jadi, misi Al-Fatih adalah untuk memupuk dan melahirkan identiti Muslim Amerika yang berdaya maju namun seimbang dari sudut agama, akademik dan budaya serta mengetengahkan kepentingan penglibatan dalam aktiviti sivik dan kerja amal," lanjut Afeefa.

Jelasnya, dalam usaha ini, pelbagai bentuk dan teknik pembelajaran dan pengajaran telah dicipta bersama dan diaplikasikan secara bersepadu di sekolah. Contohnya, bagi menjelaskan makna sejarah dan contoh teladan (heritage and role-model), sesi pembelajaran telah dihadiri oleh datuk dan nenek para pelajar sendiri untuk berkongsi cerita dan pengalaman bersama murid-murid. Selain itu, bagi menggalakkan para pelajar untuk menghargai dan menghormati rakan sebaya, sekolah telah mewujudkan "buddy bench" berdekatan dengan taman permainan sekolah. Antara fungsi bangku ini adalah sebagai satu tempat khas untuk sesiapa sahaja duduk dan berkenalan dengan rakan baru (tidak dibenarkan duduk bersama rakan yang telah dikenali), atau sebagai satu tempat untuk menjadi orang yang paling baik (tidak dibenarkan mengucapkan kata-kata yang melukakan atau tidak beradab). 

Buddy Bench. Sumber: https://www.facebook.com/alfatihacademy/

Dalam perkembangan yang berkaitan, beliau turut berkongsi mengenai 6 nilai teras (core value) yang dipegang dan menjadi matlamat pendidikan Islam di Akademi Al-Fatih seperti niat (intention), akhlak (good character), ukhuwwah (community), tenang dan sejahtera (serenity and peace), ilmu dan amal (knowledge and action) serta khalifah dan amanah (stewardship and responsibility). Keenam-enam nilai teras ini menjadi asas dalam kesemua proses pengajaran dan pembelajaran di akademi ini dan kesemua aktiviti yang dilaksanakan bukan hanya melibatkan para pelajar bahkan juga ibu bapa dan masyarakat setempat.

"Kami memiliki persetujuan bersama ibu bapa bahawa mereka juga perlu sama-sama komited dan bekerjasama dengan pihak sekolah dalam mendidik anak-anak. Selain ibu bapa, murid-murid juga didedahkan dengan peranan mereka dalam masyarakat setempat. Contohnya, ada antara aktiviti pembelajaran yang dijalankan menggunakan konsep Pembelajaran Berasaskan Tempat (place-based learning) yang mana para pelajar memastikan kebersihan sesuatu kawasan seperti laluan pejalan kaki contohnya. Jadi, kawasan tersebut dijadikan kawasan 'angkat' sekolah dan dipastikan kebersihannya sepanjang masa. Sehinggakan jika terdapat sebarang isu mengenai kebersihan di kawasan tersebut, komuniti setempat akan merujuk kepada para pelajar Akademi Al-Fatih," ujar beliau sambil tersenyum.


Para pelajar bersama laluan angkat mereka. Sumber: https://www.facebook.com/alfatihacademy/

Afeefa percaya bahawa semua orang Islam bukan hanya perlu beperanan sebagai penyebar kesejahteraan kepada manusia sejagat tetapi mereka sendiri perlu menjadi  'yang sejahtera' itu. Beliau mengumpamakan impak pendidikan Islam itu seperti sebatang pokok yang sangat tinggi namun akarnya tidak sepanjang batang pokok tersebut sebaliknya menjalar merata di dalam tanah dan ada sebahagiannya menumbuhkan pokok yang baru. 

Beliau berkata, "Seorang guru bukan hanya seorang muallim (a conveyer of knowledge) tetapi juga seorang murabbi (nurturer of souls)."

"Hakikatnya, dalam pada kita meninggalkan impak yang besar dalam diri anak-anak murid kita, kita juga sebenarnya meninggalkan impak yang besar buat diri kita sendiri," ujar beliau di akhir perkongsian. 

Turut hadir bersama dalam sesi ini Ustaz Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor, Pengarah Eksekutif IKRAM Musleh dan Dr. Azma Mahmood, Ketua Unit Pendidikan Awal Kanak-Kanak IKRAM Musleh. 

Wafiy dari SRI i-Musleh Raih Anugerah Permainan Pendidikan Terbaik

Wafiy Bin Ammar, pelajar tahun 4 dari SRI i-Musleh, Melaka.

Seri Kembangan - Siapa menyangka Wafiy Bin Ammar, 10 tahun, pelajar tahun 4 dari Sekolah Rendah Islam i-Musleh merupakan satu-satunya pelajar Melayu yang diumumkan sebagai penerima Anugerah Permainan Pendidikan Terbaik bagi kategori peserta berusia 7-12 tahun dalam MRT Scratch Cup 2019 anjuran My Robot Time Asia dengan kerjasama International Youth Robot Association (IYRA), International Youth Robot Competition (IYRC), Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) dan Kementerian Pendidikan Malaysia pada hari Selasa lalu.

Menurut Dr. Asma' binti Abdul Aziz, anaknya itu mengambil masa kira-kira sebulan untuk menyiapkan permainan berkenaan berdasarkan ciri-ciri yang telah ditetapkan oleh penganjur seperti permainan tersebut mestilah sesuai untuk kanak-kanak seusia, ada nilai pendidikan, menarik dan merupakan idea asal.

"Wafiy mula berkenalan dengan coding ini dalam tahun lepas ketika melihat iklan. Bagi pertandingan ini pula, ada ibu bapa pelajar dari SRI i-Musleh berkongsi maklumat mengenainya dan Wafiy terus berminat untuk mencuba," ujar beliau ketika ditanya mengenai penglibatan awal Wafiy dalam dunia pengekodan. 

Bercerita mengenai halangan yang dihadapi oleh Wafiy semasa menyiapkan projek berkenaan, Asma' mengatakan bahawa pernah beberapa kali projek terpaksa dibuat semula dari awal akibat masalah muat turun Scratch di komputer. Namun perkara tersebut tidak mematahkan semangat anak sulungnya itu. 

"Kadang-kadang saya akan datang kepada beliau untuk melihat perkembangan projek berkenaan dan memberikan pandangan. Selebihnya Wafiy bangunkan program tersebut sendiri. Saya sendiri tidak tahu apa-apa tentangnya (coding). Ayahnya juga membantu Wafiy merakam video manual instructions tentang bagaimana permainan tersebut dimainkan," tambah beliau lagi.

Beliau dan suaminya, Ammar Bin Abdul Rahman turut menzahirkan rasa gembira atas kejayaan Wafiy.

"Kami, selaku ibu bapa, berasa sangat gembira dan pada masa yang sama juga, sangat bersyukur sebab tidak menyangka yang Wafiy akan menang. Kebanyakan peserta lain ada kelas coding di sekolah masing-masing, Wafiy pula hanya belajar sendiri di rumah. Kami harap dengan anugerah ini, Wafiy akan lebih berkeyakinan diri dan menambah minat beliau dalam bidang tersebut."

Tambahnya lagi, pemenang dalam MRT Scratch Cup ini layak untuk bertanding di peringkat Asia.

"Kami harap Wafiy dapat buat yang terbaik untuk piala Asia pula. Semoga dengan kemenangan ini, lebih ramai lagi pelajar-pelajar kelahiran IKRAM Musleh akan mencuba minat dan belajar mengenai coding. Kemahiran ini merupakan salah satu kemahiran asas atau basic literacy untuk anak-anak di era digital. Ibu bapa boleh bantu anak-anak untuk faham teknologi dan mendidik mereka kemahiran menyelesaikan masalah seperti sabar, cuba jaya, serta faham sebab dan akibat," ujar beliau mengakhiri perbualan.

MRT Scratch merupakan bahasa pengaturcaraan atau pemprograman berasaskan blok dan komuniti dalam talian yang disasarkan terutamanya kepada kanak-kanak. Pengguna-pengguna tapak boleh membuat projek dalam talian menggunakan blok antara muka. Perkhidmatan ini dibangunkan oleh MIT Media Lab dan telah diterjemahkan ke dalam lebih 70 bahasa serta digunakan di kebanyakan tempat di dunia. Scratch adalah alat yang ideal untuk mengajar anak-anak cara kod. Selain itu, ia dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah kerajaan Asas Sains Komputer (ASK) di KSSM. MRTScratch digunakan untuk membangunkan permainan interaktif dan kanak-kanak boleh menggunakan MRTScratch untuk belajar sambil mencipta permainan mereka sendiri.

Senarai nama penuh pemenang boleh dilihat di http://iyrccodingcontest.com/.