Gelaran Ratu Pecut 100 meter Milik Humayra

Seremban - Pelari cilik, Nur Humayra Farzana, 10, dinobatkan sebagai Ratu Pecut dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Seremban 1 selepas menewaskan atlet yang lain dalam acara larian 100 meter bagi kategori bawah 10 tahun (B10), semalam di Kolej Tunku Kurshiah.

Pelajar tahun 4 dari SRI Al-Amin Nilai itu gagal disaingi oleh atlet lain dan meraih pingat emas dalam acara itu biarpun baru pertama kali menyertainya. 

Menurut Amirul Syafiq, jurulatih olahraga, ini merupakan kali pertama SRI Al-Amin Nilai menghantar penyertaan dalam Kejohanan Olahraga MSSD Seremban 1 dan kejayaan meraih emas dalam acara 100 meter B10 merupakan satu sejarah manis buat sekolah.

Segala penat lelah dan latihan intensif yang diadakan terasa berbaloi dengan kemenangan ini, tambah beliau. 

Kejohanan tersebut turut berlangsung di Center Court, Seremban.

 

 

Karnival Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2019 Perkasa Agenda Perpaduan


Para peserta Pertandingan Seni Kolaj bagi kategori sekolah menengah bergambar bersama hasil karya kumpulan masing-masing.


Kuala Lumpur - "Karnival hari ini bukan sahaja untuk pertandingan kolaj dan permainan tradisional antara kaum bahkan pihak penganjur juga telah mengadakan Pertandingan Melukis bagi pelajar tahap 1 sekolah rendah dan Pertandingan Menulis Esei bagi pelajar tahap 2 sekolah rendah sejak bulan Januari lagi. Penganjur utama seperti Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG akan mencari penyertaan dari sekolah-sekolah Cina, Pertubuhan IKRAM Malaysia pula akan mencari penyertaan dari sekolah rendah agama swasta, Jaring Orang Asal Se-Malaysia (JOAS) pula akan mencari penyertaan dalam kalangan pelajar sekolah orang asal dan Tamil Foundation akan mencari penyertaan dalam kalangan pelajar sekolah rendah Tamil," ujar Usharani Sarkunavalu, Pengerusi sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa di Malaysia bagi tahun 2019 semasa memberikan ucapan alu-aluan kepada lebih 700 orang hadirin yang hadir ke karnival berkenaan semalam.

"Bagi aktiviti permainan tradisional, para tetamu yang hadir ke karnival ini diberi peluang untuk mencuba pelbagai permainan tradisional yang ada termasuklah congkak atau bagi masyarakat India dipanggil 'palangguli', batu seremban, simpul cina, cabaran menggunakan kayu penyepit, membuat thoranam dan kolam yang terkenal dalam kalangan masyarakat India serta jak renoi yang terkenal dalam kalangan masyarakat orang asal. Selain itu, tetamu yang hadir juga berpeluang mencuba pelbagai teknik menulis kaligrafi pelbagai kaum seperti, khat, tulisan jawi serta menulis kaligrafi Cina dan Tamil," tambah Usharani.

Beliau turut berkata hasil daripada aktiviti-aktiviti yang disediakan itu, kita dapat lihat satu suasana yang jarang-jarang berlaku seperti mereka yang berbangsa Cina mencuba menulis tulisan khat jawi, yang berbangsa Melayu dan Orang Asal cuba membuat thoranam atau kolam yang terkenal dalam kalangan masyarakat India apabila tiba musim perayaan manakala yang berbangsa India pula cuba bermain batu seremban atau menggunakan kayu penyepit. 

Sebelum itu, Pertandingan Seni Kolaj telah berlangsung pada sebelah pagi dengan tema "Keterangkuman dan Pendidikan Bahasa Ibunda" dan aktiviti ini dikendalikan oleh Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG. Pertandingan ini menerima 80 penyertaan yang mana setiap kaum Melayu, Cina, India dan Orang Asal diwakili oleh 20 orang pelajar dari sekolah-sekolah menengah di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan. Mereka kemudiannya dipecahkan kepada 10 pasukan.

Mei Shya Yap dari LLG, pengendali utama Pertandingan Seni Kolaj itu berkata, apa yang unik mengenai aktiviti ini adalah setiap kumpulan mempunyai 2 orang wakil dari setiap kaum dan setiap daripada mereka berpeluang untuk berkomunikasi sesama mereka dalam bahasa yang mereka selesa gunakan serta berkongsi maklumat mengenai adat dan budaya kaum masing-masing untuk menyiapkan karya kolaj mereka. Selain itu, para peserta juga perlu menerangkan maksud simbol atau lukisan yang terdapat dalam karya kolaj mereka kepada pihak juri. Dari situ, kita dapat saksikan, hampir keseluruhan kumpulan mempersembahkan hasil karya mereka menggunakan 4 bahasa berbeza dan ini pastinya sesuatu yang menarik dan positif dalam usaha kita untuk menyatupadukan rakyat Malaysia terutamanya sejak di bangku sekolah lagi.

Memetik ucapan penutup dari Hj. Zaid Bin Kamaruddin, Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), salah satu rakan strategik pihak penganjur berkata, yang perlu dilihat bukan hanya hasil karya kolaj yang mereka persembahkan tetapi bagaimana para pelajar ini sama-sama berbincang dan sama-sama memutuskan apa yang hendak dipersembahkan dari ahli kumpulan mereka yang terdiri daripada pelajar berbilang bangsa di Malaysia. Beliau yang juga merupakan ahli jawatankuasa Pertubuhan IKRAM Malaysia itu turut memuji usaha pihak penganjur dalam menjayakan karnival yang berlangsung semalam. 

Selain itu, karnival turut dimeriahkan lagi dengan persembahan kalam berirama daripada 4 buah sekolah yang masing-masingnya mewakili bangsa Melayu, Cina, India dan Orang Asal.

Persembahan kalam berirama daripada murid-murid Sekolah Rendah Islam Al-Amin Wangsa Maju. 

Selain karnival yang berlangsung semalam, pihak penganjur Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2019 juga akan mengadakan acara utama pada 21 Februari 2019, Khamis ini bermula jam 6.30 petang. Pelbagai aktiviti menarik akan dibawakan kepada sesiapa yang berminat untuk hadir seperti Forum Belia dengan tajuk "Kepelbagaian Bahasa: Menyatukan atau Memecahkan?" yang menampilkan susuk belia yang tidak asing lagi seperti saudara Muhammad Fikri Ahmad selaku moderator dan panelis-panelis lain seperti Muhammad 'Afifi Ahmad Kamil dari IKRAM Muda, Wong Yan Ke, aktivis belia dari Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Banusha a/p Narenthiran, aktivis dari Tamil Foundation dan Bedul bin Chemai, aktivis belia dari Jaringan Orang Asal Se-Malaysia (JOAS).

Terdapat kira-kira 40 orang pelajar sekolah menengah dan 60 orang pelajar sekolah rendah rangkaian IKRAM Musleh telah hadir ke karnival yang berlangsung semalam. Turut hadir bersama, Ustaz Megat Mohamed Amin Bin Megat Mohamed Nor, Pengarah Eksekutif IKRAM Musleh merangkap Timbalan Pengerusi Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2019.

SMI Hidayah Mara ke Peringkat Kebangsaan

 
 
 
 
Pasir Gudang - Dua pasukan dari SMI Hidayah telah berjaya mara ke peringkat kebangsaan selepas dinobatkan sebagai Johan dan Naib Johan dalam Youth Industry Bootcamp 2019 anjuran CREST Talent Development dengan kerjasama UiTM Pasir Gudang selaku tuan rumah Zon Selatan bagi tahun 2019 yang berakhir semalam.
 
Menurut Norizah Mohd Salleh, salah seorang guru pembimbing bagi kedua-dua pasukan, kumpulan Health Care Hardware Adruino dan kumpulan Gamification of Learning Software Mobile App akan mewakili negeri Johor ke pertandingan peringkat kebangsaan di Pulau Pinang pada bulan November nanti.
 
Kumpulan Adruino terdiri daripada Muhammad Umar Nor'azim, Zaqwan Azhar Masjudin, dan Muhammad Adam Zayani Mohd Huzaimy, masing-masing pelajar tingkatan 2 SMI Hidayah, manakala kumpulan Mobile App yang terdiri daripada Muhammad Mhalis Muhammad Nassir, Umar Lutfi Afiffudden, Muhammad Amir Faris Muhammad Farid, masing-masing pelajar tingkatan 4.
 
Youth Industry Bootcamp 2019 yang bermula pada 10 Februari dan berakhir semalam ini telah disertai oleh 120 orang pelajar dari 26 buah sekolah di Negeri Johor dan terdapat 40 buah pasukan telah berentap mempamerkan keupayaan mereka dalam bidang industri dan teknologi di hadapan panel juri yang antaranya dari Iskandar Region Development Authority, Dyson, Intel, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia dan juga dari pihak universiti.
 
Majlis perasmian penutup yang berlangsung semalam telah dirasmikan oleh Prof. Madya Ir. Dr. Ahmad Rafizan Bin Mohamad Daud, Penolong Rektor UiTM Pasir Gudang.

Penampilan Sulung SRI Hidayah JB Membuahkan Hasil

Adlan (empat dari kanan) dan Nabil (tiga dari kanan) dari SRI Hidayah Johor Bahru layak ke MSSJ.
 
Kulai - Dua orang murid dari Sekolah Rendah Islam Hidayah, Johor Baru dinobatkan sebagai Johan dan Naib Johan semasa Majlis Penutup dalam Kejohanan Golf peringkat MSSD yang berlangsung di IOI Palm Villa Club House, Indahpura, Kulai, Johor semalam.
 
Muhamad Adlan Bin M. Nizam dan Mohamad Nabil Banin, masing-masing telah muncul sebagai Johan dan Naib Johan dalam penampilan sulung mereka.
 
Jurulatih, Mohd Jelani Bin Ramly berkata, selain Johan dan Naib Johan, dua lagi penyertaan dari SRI Hidayah Johor Bahru berjaya menduduki tangga ke-8 dan ke-14. Keempat-empat mereka telah dapat menghabiskan pukulan dengan baik sekali manakala Adlan dan Nabil telah terpilih mewakili daerah Johor Bahru ke peringkat seterusnya.
 
Kejohanan tersebut menyaksikan kira-kira 43 orang murid yang datang dari sekitar daerah Johor Bahru berentap merebut kejuaraan dan pingat kejohanan telah disampaikan oleh Tuan Haji Shaharuddin bin Saari, Pegawai Pendidikan Daerah Johor Bahru yang sekaligus telah merasmikan majlis perasmian penutup.