Lawatan Kerja Pendidikan Ke Cape Town

 
Cape Town - Seramai 13 orang delegasi dari IKRAM Musleh telah mengadakan lawatan kerja pendidikan ke Cape Town, Afrika Selatan. Lawatan selama 8 hari bermula pada 3 Februari 2019 yang lalu itu adalah sebagai lawatan penanda aras dan bertujuan untuk bertukar-tukar 'best practices' antara IKRAM Musleh dan institusi-institusi pendidikan di sana serta bagi mengadakan perbincangan-perbincangan yang berkaitan.
 
Rombongan berkenaan telah berpeluang menganjurkan seminar untuk berkongsi 'best practices' sistem kurikulum dan pentaksiran pelajar IKRAM Musleh, membentangkan projek International Quality Range Assessment (IQRA) dan berkongsi mengenai peranan dan fungsi International Centre for Educational Excellence (ICEE) selain mendapat input lain daripada para peserta seminar yang hadir seramai lebih daripada 30 orang.
 
Antara perkara yang menarik perhatian delegasi rombongan adalah mengenai nilai moral yang ditanam dan dididik dalam diri anak-anak sepanjang sesi persekolahan.
 
 
"Sekolah-sekolah di sana mengenal pasti lima hingga sepuluh nilai untuk diterapkan di dalam dan di luar bilik darjah. Dari situ, aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh murid akan ditaksir berdasarkan nilai-nilai tersebut. Praktis ini merupakan sesuatu yang boleh kita contohi dan perhalusi di sekolah-sekolah kita agar pentaksiran pelajar-pelajar kita boleh dilakukan dengan lebih berfokus dan tidak terlalu mencapah," ujar Timbalan Pengerusi IKRAM Musleh, Puan Hajah Kamaliah Binti Noordin merangkap ketua rombongan lawatan kerja berkenaan.
 
"Ada sekolah-sekolah di sini yang yurannya percuma tetapi kemudahan dan fasiliti yang ada sangat berkualiti. Ada antaranya yang berusaha bersungguh-sungguh agar dapat membantu komuniti setempat untuk mendapatkan pendidikan terutamanya sekolah-sekolah yang terletak berhampiran dengan kawasan yang majoritinya golongan kurang berkemampuan," ujar beliau menzahirkan rasa kagum dengan kemudahan persekolahan dan pendidikan di sana.
 
"Selain itu, ada juga sekolah yang tinggi kos pengajiannya tetapi fasiliti dan kemudahan di sekolah sangat bagus dan terjaga. Malahan, ada sekolah-sekolah agama di sana yang memiliki hampir 80% pelajar bukan Islam. Ibu bapa bukan Islam ini sangat yakin dengan pendekatan pendidikan Islam yang diguna pakai di sekolah-sekolah agama ini dan menghantar anak-anak mereka ke sana supaya anak-anak mereka juga boleh menghayati akhlak Islami yang diterapkan," tambah beliau.
 
Rombongan tersebut turut berpeluang melawat sebuah sekolah tahfiz, Jam’eyyatul Qurra dan melihat sendiri suasana pembelajaran di sana.
 
 
"Banyak program dan inisiatif bersama yang boleh dianjurkan dan diusulkan dengan sekolah-sekolah yang dilawati ini memandangkan bahasa perantara yang digunakan di sana kebanyakannya dalam Bahasa Inggeris seperti program pertukaran pelajar tahfiz, kelas tanpa sempadan antara pelajar, perbincangan atas talian antara guru dan pelbagai aktiviti lagi agar boleh bertukar-tukar pandangan dan idea," cadang beliau. 
 
 
Turut hadir bersama rombongan ini adalah Dr. Noor Azlan Ahmad Zanzali, selaku wakil dari ICEE merangkap timbalan ketua rombongan yang turut mengadakan perbincangan sehari selepas seminar mengenai Thematic Learning Quranic Based, Ustaz Megat Mohamed Amin Bin Megat Mohamed Nor, Pengarah Eksekutif IKRAM Musleh yang membentangkan mengenai projek IQRA dan lain-lain termasuklah Dr. Azma Mahmood, Ketua Unit Pendidikan Awal Kanak-Kanak IKRAM Musleh (PEDA) dan Rohida Jamaludin, Eksekutif Pendidikan IKRAM Musleh.
 
Rombongan tersebut telah selamat tiba ke tanah air pada jam 10.00 pagi semalam. 

Program Silang Budaya Terap Nilai Hormat, Fahami Perbezaan

Dalam Surah Al-Hujurat, ayat 13, Allah s.w.t. telah berfirman:

“Wahai manusia! Sungguh telah Kami ciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Teliti.”

Ayat ini merupakan ayat yang ditujukan kepada umat sejagat tanpa mengira bangsa dan warna kulit. Allah telah menjadikan kita berlainan rupa, bangsa dan kaum. Ada yang jadi Melayu, Cina, India dan bermacam-macam lagi. Tiadalah lain sebab Allah menjadikan kita demikian selain untuk kenal-mengenal. Ayat inilah juga yang menjadi aspirasi dan hasrat IKRAM Musleh dalam menggalakkan program silang budaya di sekolah-sekolah.

Kita berhasrat memupuk budaya hormat-menghormati, faham-memahami melalui program dan aktiviti silang budaya yang dijalankan seperti yang disebutkan di dalam Surah Al-Hujurat, ayat 13, kata Prof. Dr. Omar bin Yaakob.

Pengerusi Pendidikan IKRAM Musleh itu berkata, program silang budaya sama ada di peringkat sekolah atau di peringkat nasional di sekolah-sekolah rangkaian dan rakan IKRAM Musleh telah dijalankan sejak sekian lama untuk menerapkan nilai hormat menghormati dan meraikan kepelbagaian yang terdapat di negara ini seperti Program Sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa yang telah dijalankan setiap tahun. Program-program seumpama ini bukan sahaja mampu meningkatkan pengetahuan pelajar sekolah mengenai rencam masyarakat majmuk di negara kita bahkan mampu memperkukuh integrasi nasional dan memperkasa agenda perpaduan.

Pelajar-pelajar tanpa mengira bangsa dan agama turut serta dalam Pertandingan Kolaj yang diadakan sempena Sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa pada tahun lalu.

“Sekolah-sekolah IKRAM Musleh telah menjalankan aktiviti silang budaya saban tahun dengan pelbagai sekolah yang lain seperti hubungan yang terjalin antara Sek. Ren. Islam Al-Amin, Paya Besar dengan SJK(C) Kwang Hwa, Sek. Men. Islam Hidayah, Johor Bahru dengan Sek. Men. Pei Chun, Sek. Ren. Islam Al-Azhar, Jitra dengan SRJK (C) Hwa Min, Sek. Men. Islam Al-Amin Gombak dengan Sek. Men. Tsun Jin dan banyak lagi. Selain menjalankan aktiviti silang budaya dengan sekolah lain, para pelajar juga diberikan peluang untuk menyantuni komuniti berbangsa Cina yang tinggal di kawasan berhampiran dengan sekolah mereka sempena perayaan Tahun Baru Cina seperti yang dilaksanakan oleh Sek. Men. Islam Al-Amin, Kemaman baru-baru ini,” tambah beliau lagi.


Para pelajar SMI Al-Amin Kemaman menyantuni komuniti berbangsa Cina di kawasan kejiranan sekolah mereka sempena Tahun Baru Cina yang lalu.

Antara kebaikan yang diperoleh melalui program-program silang budaya seperti ini adalah dapat membantu kita memahami sesuatu budaya sebagai medium yang dapat menghasilkan wacana secara positif dan bermakna kepada anggota masyarakat. Aktiviti silang budaya juga dapat memberikan pendedahan awal kepada para pelajar mengenai realiti kehidupan masyarakat di Malaysia yang berbilang kaum dan saling belajar mengenai budaya masing-masing antara satu sama lain dalam suasana yang harmoni dan aman damai.

Selain itu, bergaul dengan manusia daripada kelompok yang berbeza latar belakangnya boleh mendorong kita menjadi lebih terbuka dan bersedia melihat serta menerima nilai yang baik dan universal dalam sesuatu bangsa atau kaum. Kita tidak akan bersifat statik atau stereotaip kerana dengan memahami budaya lain, boleh menjadikan kita lebih peka dengan anggota masyarakat berlainan budaya dan pada masa yang sama dapat menambah pengalaman dalam mencipta komunikasi yang efektif tanpa rasa prejudis dengan masyarakat berbangsa lain.

Dengan melihat dan mempelajari budaya lain ini juga secara tidak langsung menyedarkan kita mengenai keterbatasan yang ada dalam budaya sendiri dan sekali gus menanam nilai hormat-menghormati terhadap orang lain dan menghargai kepelbagaian.

Kesimpulannya, setiap kaum dan bangsa di negara kita memiliki budaya masing-masing yang unik dan tersendiri. Sikap saling menerima dan memahami perbezaan inilah yang akan merapatkan jurang perbezaan dan membentuk kekuatan kepelbagaian etnik, sekali gus akan menjadi satu kekuatan dan kebanggaan buat negara yang tercinta.

Memanusiakan Manusia Melalui Teladan, Contoh

Ustaz Megat Mohamed Amin Bin Megat Mohamed Nor
 
Kuala Lumpur - Dalam strategi memanusiakan manusia, menjadi contoh teladan atau qudwah hasanah merupakan langkah yang terutama dan sangat berkesan seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. sendiri, menurut Pengarah Eksekutif IKRAM Musleh, Ustaz Megat Mohamed Amin Bin Megat Mohamed Nor.
 
Beliau berkata demikian sewaktu menjadi tetamu dalam Slot Islam Rahmatan lil'Alamin terbitan TV Al-Hijrah dengan tajuk Pendidikan Memanusiakan Manusia.
 
"Sesiapa sahaja mesti menjadi contoh teladan. Menjadi qudwah hasanah. Ibu bapa harus menjadi contoh kepada menusia atau anak-anak mereka kerana anak-anak ini akan melihat dan akan ingat apa yang berlaku. Anak-anak seterusnya akan meneliti dan mencontohi apa yang ditunjukkan oleh ibu bapa," jelas beliau. Selain itu, komitmen, pengorbanan dan kesungguhan ibu bapa dalam mendidik juga turut diperhatikan oleh anak-anak.
 
Sebelum itu, beliau turut menjelaskan bahawa, secara asasnya, ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkan peribadi dan mendidik anak-anak sebagaimana hadith Rasulullah s.a.w., "Setiap anak yang dilahirkan itu adalah umpama kain putih (fitrah), ibu bapalah yang bertanggungjawab mewarnakan dan mencorakkannya, sama ada menjadi Yahudi, Nasrani dan Majusi." 

"Namun begitu, pendidikan tidaklah mampu atau boleh dilaksanakan oleh satu atau dua orang sahaja. Ia haruslah dilakukan oleh semua pihak lain selain ibu bapa itu sendiri. Semua pihak perlu bekerjasama untuk perkara baik ini termasuklah media massa sendiri, kerajaan dan institusi-institusi formal yang lain," tambah beliau.
 
Megat Mohamed Amin turut berkata jika strategi memanusiakan manusia itu ingin ditambah lebih baik lagi, suatu sistem untuk melihat dan menilai kemajuan, pencapaian dan prestasi manusia itu juga harus diwujudkan. Terdapat pelbagai model atau sistem moden hari ini yang telah dicipta untuk tujuan itu dan dari situ, kita perlu kaji dan fikirkan apa langkah seterusnya yang perlu diambil untuk meningkatkan lagi kualiti insan itu.

"Bagi pihak IKRAM Musleh sendiri, kami mempunyai Sistem Pentaksiran Pelajar IKRAM Musleh (SPPIM) yang mana ia telah kita wujudkan untuk melakukan assessment for learning (pentaksiran untuk pembelajaran) dan bukan hanya untuk assessment of learning (pentaksiran tentang pembelajaran). Dalam erti kata lain, kita tahu, pencapaian pelajar adalah begitu, jadi, apa seterusnya yang perlu kita buat?"
 
Beliau memberikan contoh mudah untuk perkara yang dinilai seperti mengemas bilik umpamanya. Bagi tingkatan yang pertama, seorang pelajar telah disuruh berkali-kali untuk mengemas bilik tetapi tidak dilaksanakan. Kemudian, tingkatan yang seterusnya adalah, pelajar tersebut akhirnya mengemas bilik setelah disuruh berkali-kali. Seterusnya, bagi tingkatan yang ketiga, pelajar tersebut apabila disuruh sekali maka beliau terus buat. Selanjutnya, bagi tingkatan yang keempat, atau lebih disebut sebagai 'soleh', seorang pelajar yang tanpa disuruh pun tetap akan mengemas biliknya sendiri. Untuk tingkatan yang terakhir, pelajar tersebut bukan sahaja telah mengemas biliknya tetapi juga turut mengajak rakan-rakan yang lain untuk melakukannya dan tingkatan ini dikenali sebagai 'musleh'. 

"Oleh itu, kita ingin melahirkan manusia yang bukan sahaja soleh atau baik tetapi kita juga ingin melahirkan manusia yang musleh, yang mampu mengajak orang lain untuk sama-sama melakukan kebaikan," ujar beliau mengakhiri perbincangan.

PENARA '18 Perkenal Kemahiran Radio Amatur, Orienteering

AYER KEROH - "Gunakan segala ilmu yang diperoleh semasa mengikuti perkhemahan ini dalam kehidupan dan jangan lupa sebarkan kepada kawan-kawan yang lain," Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kokurilulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia, Tn. Haji Mohd Rashid bin Mean berkata demikian dalam majlis perasmian penutup Perkhemahan Nasional Di Udara 2018 (PENARA '18) di Taman Mini Malaysia dan Kebudayaan Asean, Ayer Keroh, Melaka kepada 1066 orang anggota Kadet Remaja Sekolah termasuk 46 orang pegawai dan 42 orang guru pengiring yang hadir hari ini.

Dalam sidang media yang diadakan, beliau turut berkata, "Kelebihan program-program sebegini khususnya PENARA '18 dalam konteks Malaysia baru sekarang ini adalah kita ingin melahirkan murid-murid yang boleh menguasai pelbagai kemahiran lain dan tidak hanya tertumpu kepada akademik atau peperiksaan sahaja. Kita ingin sediakan generasi yang mantap dalam semua segi dan kemahiran yang diajar akan digunakan oleh anak-anak ini untuk memenuhi keperluan hidup."

Antara objektif utama perkhemahan yang dianjurkan bersama antara Kadet Remaja Sekolah Musleh (KRSM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia ini adalah untuk memperkenal kemahiran radio amatur, memanah tradisional dan orienteering mengikut format kebangsaan kepada para peserta. 

"Kita lihat hari ini, banyak bencana berlaku di sekeliling kita dan di antara sistem komunikasi yang paling berkesan semasa bencana ialah sistem komunikasi yang menggunakan radio amatur. Malaysia hari ini juga telah banyak memberikan khidmat radio amatur termasuklah sebagai transit apabila berlaku gempa bumi di mana-mana tempat di Indonesia walaupun tidak berada di sana dan bertindak sebagai perantara kepada tempat bencana dan tempat untuk menyalurkan sumbangan," ujar Pengerusi Kadet Remaja Sekolah Musleh, Mejar Abdul Rahaim Md Isa dalam ucapannya semasa majlis penutup.

Pelbagai aktiviti lain turut diadakan sepanjang perkhemahan berlangsung sejak 17 Disember yang lalu. Antaranya pertandingan masakan rimba, pertandingan Basic Self Defence (BaSED), pertandingan kawad kaki, pertandingan membina gajet, lumba berhalangan, Quran Hour, persembahan malam kebudayaan dan berkenalan dengan tokoh nusantara. 

Di samping itu, penerapan nilai-nilai yang positif seperti kasih sayang, saling menghormati dan kebahagiaan juga harus diberi penekanan sepanjang perkhemahan berlangsung, ujar Ustaz Megat Mohamed Amin Bin Megat Mohamed Nor, Pengarah Eksekutif IKRAM Musleh merangkap Penaung Kadet Remaja Sekolah Musleh dalam menyahut kempen Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik.

"Nilai-nilai ini perlu dijadikan tabiat dan apabila tabiat yang baik ini diamalkan, ia akan menjadi budaya dalam masyarakat dan seterusnya menjadi satu kebudayaan dalam negara kita," lanjut beliau lagi.

Turut hadir bersama ialah Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Jabatan Ketua Menteri Melaka, Encik Zairi Bin Suboh yang turut menyatakan rasa sukacita beliau kerana Melaka dipilih sebagai destinasi perkhemahan dan secara tidak langsung dapat menaikkan lagi ekonomi negeri dan meningkatkan aktiviti-aktiviti pelancongan di negeri Melaka. 

 

Dari kiri: Penaung KRS Musleh, Ustaz Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kokurilulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia, Tn. Haji Mohd Rashid bin Mean dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Jabatan Ketua Menteri Melaka, Encik Zairi Bin Suboh

Perkhemahan Nasional Di Udara atau lebih dikenali sebagai PENARA ini diadakan 3 tahun sekali dan kali ini membawa tema Ukhuwah Mahabbah Teras Kekuatan Ummah.