Dr Maszlee Iringi Pelepasan Kontinjen KRS Musleh ke KEMNAS IV

15 Nov, Sepang - Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia telah meluangkan masa untuk hadir dalam Majlis Pelepasan Kontinjen KRS Musleh ke Kem Ukhuwah Nasional (KEMNAS IV-2018) di Buperta, Cibubur, Jakarta, Indonesia pada jam 5.00 pagi tadi di ruang legar pintu pelepasan antarabangsan, KLIA 2.

"Seramai 297 anggota KRS Musleh dari 27 buah sekolah rendah dan menengah rangkaian IKRAM Musleh termasuk pegawai-pegawai, guru-guru pengiring dan para pelajar akan berlepas ke sana hari ini melalui tiga penerbangan pada pagi ini," ujar Mejar Abd Rahaim Md Isa selaku ketua rombongan kontinjen KRS Musleh ke Jakarta kali ini.

Menurut beliau, KEMNAS IV ini akan berlangsung selama 4 hari 3 malam di tapak perkhemahan Buperta Cibubur, Jakarta, Indonesia dan dijangkakan sejumlah 14, 000 orang anggota dari Indonesia dan Thailand termasuk dari Malaysia akan berada di sana.

"Kontinjen KRS Musleh akan berada di sana lebih lama iaitu bermula hari ini, 15 November hingga 22 November untuk melakukan lawatan sambil belajar di Taman Sains, Jakarta dan juga melawat Sekolah Ummul Qura, Bogor dan Desa Bantar Sari, Bogor selepas perkhemahan tamat," tambah beliau lagi.

Turut serta dalam rombongan ke Jakarta ini adalah Ustaz Megat Mohamed Amin Bin Megat Mohamed Nor, Pengarah Eksekutif IKRAM Musleh.

Projek IQRA Diperkenal di Persidangan Antarabangsa

18 Sept, United Kingdom - Pengarah Eksekutif IKRAM Musleh, Megat Mohamed Amin Bin Megat Mohamed Nor telah berpeluang menghadiri dan membentangkan projek International Quality Range Assessment (IQRA) di Persidangan Antarabangsa 2018 anjuran International Association for Educational Assessment (IAEA) hari ini.

Menurut beliau, IQRA merupakan satu projek yang dibangun bersama oleh beberapa agensi pendidikan nasional dan juga internasional termasuk IKRAM Musleh bagi memperkenalkan satu kaedah baru dalam menilai kemenjadian diri para pelajar.

Dalam persidangan berkenaan, ramai yang memberi respon positif terhadap projek IQRA yang telah dibentangkan. Menurut Stuart Shaw, Ketua Penyelidik di Cambridge Assessment International Education, "IQRA presents a new definition of achievement, quite different from its traditional definition. I really like this new word - becomingness." 

Selain itu, Dr. Graham Orpwood, Direktor Program Vretta Antarabangsa turut mengatakan bahawa IQRA menunjukkan satu kaedah pentaksiran yang berbeza dan unik. 

"Instead of us telling the students who they are. IQRA wants the students themselves to tell us who they are," tambah beliau lagi. 

Menaruh harapan penuh terhadap projek ini, Megat Mohamed Amin turut memberitahu delegasi-delegasi yang hadir bahawa IKRAM Musleh akan terus berbincang dengan beberapa badan berautoriti antarabangsa agar IQRA boleh digunapakai oleh sekolah-sekolah di seluruh dunia.

"Buat masa ini, IQRA telah digunapakai di beberapa sekolah di Malaysia, Indonesia, Thailand, Sri Lanka dan Pakistan," ujar beliau lagi.

Persidangan tersebut berlangsung di United Kingdom selama 3 hari bermula semalam.

Persatuan Memanah Tradisional Musleh (MeTra) ke Djampang Field Archery, Bogor, Jakarta

28 Julai, Bogor - Telah berlangsung satu kejohanan memanah tradisional yang terbesar di Djampang, Bogor, Indonesia dan kesempatan ini telah digunakan sebaik-baiknya oleh pasukan Peraturan Memanah Tradisional Musleh (MeTra) dengan menghantar 4 orang jurulatih (3 lelaki & 1 wanita) ke sana untuk menyertai pertandingan. Alhamdulillah, seorang pemanah MeTra, Leftenan KRSM Muhammad Rubaie telah berjaya sampai ke semi final setelah mengharungi pelbagai jenis sasaran.

Syabas dan tahniah Kontinjen MeTra, Musleh!

Al-Amin Gombak Juarai Kategori BM dalam Debat antara Sekolah-Sekolah Malaysia Kali Ke-16 anjuran UIAM

29 Julai - Telah berlangsung Pertandingan Debat antara Sekolah-Sekolah Malaysia Kali Ke-16 (IDC) anjuran UIAM dan alhamdulillah, SMI Al-Amin Gombak telah berjaya menjuarai kategori Bahasa Melayu dengan keputusan juri 7-0.

Tahniah juga diucapkan kepada pendebat terbaik Bahasa Melayu, adik Abdullah Afeeq Bin Shafiee, Tingkatan 5 Suhaib Ar-Rumi dari SMI Al-Amin Gombak.

Selain itu, bagi kategori Bahasa Arab, SMI Hidayah Johor Bahru telah berjaya mendapat naib johan. Tahniah diucapkan!

Keputusan penuh IDC 2018:

Bahasa Melayu
Juara : SMI Al-Amin Gombak
Naib juara: MRSM Kuantan

Bahasa Inggeris
Juara : Kolej Yayasan Saad
Naib juara : Sekolah Datuk Abdul Razak

Bahasa Arab
Juara : Sekolah Menengah Agama Arab Sultan Zainal Abidin
Naib : SMI Hidayah Johor Bahru