Karnival Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2020 Sebar Mesej Perpaduan

Kuala Lumpur – Program seumpama ini sangat bermakna untuk diri saya, begitu ungkap Lee Han Yang, 17, pelajar dari Sekolah Tinggi Kuen Cheng sewaktu menyertai Pertandingan Seni Kolaj sempena Karnival Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2020 anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia dengan kerjasama Dong Jiao Zong, Tamil Foundation dan Jaringan Orang Asal Se-Malaysia (JOAS) yang dihadiri kira-kira 500 orang Sabtu lalu di sini.

“Saya berpeluang untuk berkongsi idea dan pandangan dengan pelajar-pelajar berbangsa Melayu dan India yang semestinya datang daripada latar belakang kehidupan dan budaya yang berbeza sambil bekerjasama dalam menyiapkan karya kolaj kumpulan kami,” lanjut beliau lagi.

Sementara itu, Aisyah Fasihah Kamal Bhareen, 16, dari Sekolah Menengah Islam Al-Amin Gombak pula berkongsi perasaan gementarnya apabila para peserta pertandingan diasingkan mengikut kumpulan yang terdiri daripada pelajar-pelajar yang berlainan bangsa pada permulaan pertandingan.

“Saya berasa agak gementar kerana bimbang tidak dapat berkomunikasi dengan baik sesama ahli kumpulan tetapi selepas saling berkenalan, rupanya sangat seronok berbual dengan mereka,” ujar Aisyah sambil tersenyum.

[Sebahagian peserta Pertandingan Seni Kolaj.]

Pertandingan Seni Kolaj yang telah berlangsung pada sebelah pagi itu membawa tema "Keterangkuman dan Pendidikan Bahasa Ibunda" dan aktiviti ini dikendalikan oleh Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG dengan kira-kira 50 penyertaan daripada setiap kaum Melayu, Cina, India dan Orang Asal dari sekolah-sekolah menengah di sekitar Selangor. Selain itu, 15 orang pelajar sekolah menengah dan 40 orang pelajar sekolah rendah rangkaian IKRAM Musleh turut hadir memeriahkan karnival berkenaan. Turut hadir, Ustaz Megat Mohamed Amin Bin Megat Mohamed Nor, Pengarah Eksekutif IKRAM Musleh merangkap Pengarah Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2020.

Sebelum itu, beberapa aktiviti lain juga turut berlangsung sepanjang karnival berkenaan dan para tetamu yang hadir berpeluang untuk mencuba serta merasai pengalaman bermain pelbagai jenis permainan tradisional Melayu, Cina, India dan Orang Asal yang disediakan oleh pihak penganjur termasuklah congkak atau bagi masyarakat India dipanggil 'palangguli', batu seremban, cabaran menggunakan kayu penyepit, membuat thoranam dan kolam yang terkenal dalam kalangan masyarakat India serta jak renoi yang terkenal dalam kalangan masyarakat orang asal. Selain itu, turut disediakan ruang mencuba teknik menulis kaligrafi pelbagai kaum seperti, khat, tulisan jawi serta menulis kaligrafi Cina dan Tamil dengan kehadiran pengajar-pengajar teknik menulis khat dan kaligrafi profesional.

[Pelajar berbangsa India mencuba aktiviti cabaran menggunakan kayu penyepit yang menjadi budaya masyarakat berbangsa Cina.]

Karnival turut dimeriahkan lagi dengan persembahan kalam berirama daripada 3 buah sekolah yang masing-masingnya mewakili bangsa Melayu, Cina dan India selepas Pertandingan Seni Kolaj tamat pada jam 12.00 tengah hari.

Kamarul Bahyah Mustafa, 48, salah seorang tetamu yang hadir bersama anak lelakinya yang berusia 12 tahun dari Kuantan, Pahang berkata, “Program seperti ini sangat bagus dalam memberikan pendedahan awal kepada anak-anak tentang kepelbagaian bangsa yang terdapat di Malaysia dan keunikan setiap daripadanya. Minda anak-anak akan lebih terbuka dalam menerima kepelbagaian ini dan kita seharusnya sama-sama berbangga menjadi rakyat Malaysia.”

Beliau turut menyarankan agar kesedaran hidup berbilang bangsa serta rasa tanggungjawab mengekalkan keamanan dan keharmonian negara ini dipupuk sejak kecil lagi.

Karnival yang berakhir pada jam 1.30 petang itu diakhiri dengan ucapan penutup daripada Hj. Zaid Bin Kamaruddin, Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), salah satu rakan strategik penganjur. Beliau menyifatkan karnival ini sebagai satu usaha murni yang patut dibanggakan bersama dan diteruskan lagi pada masa akan datang. Beliau yang juga merupakan ahli jawatankuasa Pertubuhan IKRAM Malaysia itu turut memuji usaha pihak penganjur dalam menjayakan karnival serta berharap mesej perpaduan yang dibawa bersama dapat dicontohi oleh semua pihak. 

Dalam perkembangan yang berkaitan, pihak penganjur Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2020 juga akan mengadakan acara utama pada 21 Februari 2020, Jumaat ini bermula jam 8.00 pagi bertempat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Kwo, Kuala Lumpur. Pelbagai aktiviti menarik juga akan dibawakan kepada orang ramai seperti Forum Belia yang akan menampilkan saudari Khadijah Khalid daripada IKRAM Muda selaku moderator dan panelis-panelis belia yang lain. Acara utama berkenaan akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, YB Teo Nie Ching dan dijangkakan akan tamat pada jam 12.00 tengah hari.

Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa telah diumumkan oleh UNESCO untuk diperingati di seluruh dunia pada 21 Februari sebagai pengiktirafan antarabangsa kepada Hari Pergerakan Bahasa yang disambut di Bangladesh semenjak tahun 1952 apabila sebilangan penuntut Universiti Bangladesh terbunuh di Dhaka ketika menyertai Gerakan Bahasa Benggali. Pengisytiharan itu datang dalam bentuk resolusi yang sebulat suara diterima pakai di ibu pejabat UNESCO di Paris pada bulan November 1999.

Unit Kokurikulum IKRAM Musleh Lebar Jaringan ke Kemboja

Phnom Penh - Ketua Unit Kokurikulum IKRAM Musleh merangkap Pengerusi KRS Musleh, Mejar KRSM Tuan Abdul Rahaim Md Isa tiba, di sini, semalam untuk memulakan lawatan pengaantarabangsaan dan silang budaya Malaysia-Kemboja selama 4 hari. Ketibaan beliau selaku ketua delegasi disambut Mufti Kemboja, Okna Ust Kamaruddin Yusof di Madrasah An-Nikmah, Phnom Penh. Rombongan dari Malaysia terdiri daripada delegasi-delegasi pasukan Memanah Tradisional (MeTra) IKRAM Musleh, Tunas Kadet Remaja Sekolah Musleh (TKRSM) dan Kadet Remaja Sekolah Musleh (KRSM).

Mufti Kemboja (empat dari kanan) menerima cenderamata daripada Mejar KRSM Tuan Abd Rahaim Md Isa.

Hasil lawatan berkenaan, Kelab Memanah Tradisional (MeTra) dengan rasminya telah ditubuhkan di Madrasah An-Nikmah, Phnom Penh (salah sebuah sekolah di bawah pentadbiran Pejabat Mufti Kemboja) semalam yang kelulusannya telah ditandatangani oleh Okna Ust Kamaruddin Yusof sambil disaksikan oleh Abd Rahaim.

Hari ini, Abd Rahaim dan para delegasi juga telah mengunjungi Kementerian Pendidikan, Belia dan Sukan Kemboja yang disambut oleh Setiausaha Negara, Kementerian Pendidikan, Belia dan Sukan, Nos Sleh. 

Setiausaha Negara, Nos Sleh (lapan dari kanan belakang) bergambar kenangan bersama delegasi IKRAM Musleh dari Malaysia.

Lawatan ini juga menumpukan usaha kerjasama antara IKRAM Musleh dan sekolah-sekolah di Kemboja dalam mengembangkan sukan memanah tradisional serta merapatkan hubungan antarabangsa antara dua negara terutamanya dalam aspek pendidikan.

Turut bersama dalam lawatan berkenaan, Timbalan Pengerusi KRS Musleh, Soleh Senafi dan pegawai-pegawai kanan KRS Musleh yang lain. 

Mereka dijadual pulang pada 24 Januari 2020 nanti. 

 

Kokurikulum IKRAM Musleh Tumpu Potensi, Kompetensi Guru dan Murid

Bangi – “Perancangan kokurikulum perlu lebih teliti kerana melibatkan waktu selepas persekolahan. Kalau PdPc mudah, ada jadual sejak awal tahun sehinggalah pentaksiran akhir tahun. Begitulah juga sepatutnya unit kokurikulum," ujar Ketua Unit Kokurikulum IKRAM Musleh merangkap Pengerusi KRS Musleh, Mejar KRSM Tuan Abd Rahaim bin Md Isa semasa berucap di Muzakarah Sekretariat KRS Musleh dan Penolong-Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Rangkaian IKRAM Musleh pada 18 Januari lalu di Sekolah Rendah Islam Al-Amin, Bangi.

"Proses pentarbiahan ini harus ‘disengajakan’, supaya kita sedar dan faham rasionalnya. Sebagai contoh nak hantar murid sertai pertandingan, ia perlu dirancang, tidak boleh spontan,” katanya lagi.

Beliau turut menyatakan bahawa Unit Kokurikulum sekolah perlu bergerak maju seiring dengan perkembangan Pendidikan Abad ke-21 (PAK21) dengan meneroka bidang dan ruang baru agar wujudnya jalan dan peluang untuk kepentingan murid sekolah rangkaian yang rata-ratanya tidak berpeluang menyertai acara serta program seperti sekolah biasa.

Abd Rahaim turut menegaskan bahawa tugas sebenar seorang Guru Penolong Kanan Kokurikulum ini hakikatnya amat berat namun harus dianggap sebagai satu amanah yang wajib dilunaskan.

“Hakikatnya, tanggungjawab sebagai Guru Penolong Kanan Kokurikulum ini adalah tugas yang sangat berat. Melainkan jika kita anggap tugas itu satu amanah yang harus dilaksanakan, maka kita akan rasa ringan kerana kita sedang menjalankan satu amanah untuk membentuk generasi rabbani, melalui pentarbiahan, kepimpinan dalam kokurikulum dan KRS Musleh."

Di samping itu, salah satu resolusi yang telah digariskan di akhir muzakarah menyatakan bahawa potensi murid harus dibangun secara berterusan. Maka atas sebab itu, Unit Kokurikulum perlu diperkasakan fungsinya sebagai wadah pembangunan kepimpinan murid; menjayakan semua aktiviti kokurikulum di peringkat kebangsaan dan antarabangsa; menguruskan 5M secara efektif dan efisyen; mengukuhkan hubungan dan jaringan di peringkat antarabangsa; dan menjayakan projek dana peringkat nasional.

Selain itu, muzakarah yang dihadiri oleh 43 orang Guru Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Rangkaian IKRAM Musleh seluruh Malaysia itu turut membincangkan beberapa perkara lain, antaranya takwim program bagi tahun 2020, mengemaskini data, dan pembentangan berkaitan carta organisasi dan punca kuasa.

Turut diumumkan dalam muzakarah berkenaan ialah produk terkini Unit Kokurikulum IKRAM Musleh iaitu Buku Rujukan Tunas Kadet Remaja Sekolah Musleh (TKRSM) edisi ke-3 bagi penggunaan kadet Tahun 5 dan Tahun 6. Buku tersebut telah siap untuk digunakan dan dipromosikan ke seluruh sekolah rangkaian.

Dalam perkembangan yang berkaitan, gabungan penasihat dan 4 orang Jurulatih Utama (JU) Persatuan Memanah Tradisional Musleh (MeTra) juga telah berjaya menghasilkan sebuah buku rujukan umum berkaitan memanah tradisional dan akan diterbitkan tidak lama lagi.

Sumber berita: KRS Musleh

IKRAM Musleh Anjur Kursus Pengurusan Media

Bangi – "Kita berhasrat untuk melahirkan penulis atau pelapor media yang menjaga kredibiliti dan prinsip kewartawanan," ujar Pengarah Program, Rofazlin Jusoh dalam Kursus Pengurusan Media yang julung-julung kalinya dianjurkan oleh Unit Ko-Kurikulum IKRAM Musleh dengan kerjasama Kadet Remaja Sekolah Musleh (KRSM) di Bilik Uthmaniyyah, Sekolah Rendah Islam Al-Amin Bangi, semalam.

"Semua penyelaras yang hadir dalam kursus ini akan diberikan pendedahan awal dan panduan tentang penyediaan bahan berita yang berkualiti dan menepati kriteria bidang. Pada masa akan datang, penyelaras media setiap sekolah diharapkan boleh berperanan untuk melahirkan penggerak media yang rahmah sama ada daripada kalangan guru dan murid." 

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 41 orang Penyelaras Kelab Media daripada seluruh sekolah rangkaian IKRAM Musleh yang hadir.

Di samping itu, kursus ini juga bertujuan untuk menyelaraskan perancangan aktiviti tahunan Kelab Media di sekolah-sekolah.

"Kursus sebegini sangat baik dan informatif kepada semua peserta terutamanya guru-guru yang menguruskan hal ehwal media di sekolah," ujar Nurain Md Nor, dari Sekolah Menengah Al-Hidayah Ipoh.

Beliau berpendapat bahawa laporan atau berita-berita palsu yang tidak tepat sangat berleluasa pada zaman sekarang.

"Justeru, melaporkan berita yang tepat dan sahih ini sangat penting dan selari dengan tuntutan syariat agar kita berlaku jujur dan benar dalam membawa sesuatu berita,” katanya lagi.

Sebelum itu, kursus yang berlangsung selama sehari ini dimulakan dengan Slot Asas Kewartawanan yang disampaikan oleh mantan wartawan akhbar Utusan Malaysia, Siti Ainiza Kamsari. Beliau menyampaikan kaedah asas dalam menulis berita merangkumi protokol, kaedah dan perkara yang perlu dielakkan dalam menulis sesuatu berita.

Program berakhir sekitar jam 5.00 petang.

Sumber: KRS Musleh