IKRAM Musleh, MEDIU Tandatangan MoU Tingkat Kerjasama Pendidikan

Prof. Dr. Omar Bin Yaakob (kanan) dan Prof. Madya Dr. Fadlan bin Mohd Othman.

Kuala Lumpur - IKRAM Musleh menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Al-Madinah International Universiti (MEDIU) Jumaat lalu di sini bagi mewujudkan kerjasama dalam pembangunan akademik dan pendidikan khususnya. 

Pengerusi JK Pendidikan IKRAM merangkap Pengerusi IKRAM Musleh, Prof. Dr. Omar Bin Yaakob berkata kerjasama itu diharap akan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran sedia ada melalui program-program yang akan dianjurkan serta menggalakkan pertukaran maklumat yang bermanfaat bagi kedua-dua institusi.

“Hasil kerjasama ini boleh membuka ruang kepada kedua-dua institusi untuk sama-sama terlibat dalam penganjuran program di peringkat nasional mahupun antarabangsa dalam memperkasa pendidikan khususnya pendidikan Islam dan sekaligus mempromosikan kedua-dua institusi di mata negara dan dunia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mewakili IKRAM Musleh dan menandatangani MoU sambil disaksikan oleh Pengarah Eksekutif IKRAM Musleh, Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor.

MEDIU diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. Madya Dr. Fadlan bin Mohd Othman.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Fadhlan bin Mohd Othman berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama ini dan berharap sama-sama dapat memberikan khidmat dan sumbangan kepada bidang pendidikan.  

Konstruk Kepimpinan Jadi Teras Utama KRS Musleh

Mejar KRSM Abd Rahaim Md Isa, Ketua Unit Ko-kurikulum IKRAM Musleh merangkap Pengerusi Kadet Remaja Sekolah Musleh (KRSM).

Ipoh - "Kadet Remaja Sekolah Musleh (KRSM) menjadikan 10 peribadi muslim atau 10 muwasofat tarbiah dan pembinaan ciri kepimpinan sebagai teras utama semua aktiviti KRS Musleh. Kedua-dua teras ini digarap melalui 10 Konstruk Kepimpinan dan 13 Konstruk Kemampuan yang menjadi sebahagian daripada modul KRS Musleh," ujar Ketua Unit Ko-kurikulum IKRAM Musleh merangkap Pengerusi Kadet Remaja Sekolah Musleh (KRSM), Mejar KRSM Abd Rahaim bin Md Isa semasa merasmikan Majlis Pembukaan Kadet Remaja Sekolah Musleh bagi tahun 2020 peringkat Sekolah Menengah Al-Hidayah Ipoh, baru-baru ini.

“Ada dua perkara penting yang perlu kita beri perhatian. Pertamanya adalah proses pembentukan sifat-sifat yang mulia dalam diri yang kita kenali sebagai 10 muwasofat tarbiyah dan yang kedua pula, adalah kepimpinan. Kita bina sifat-sifat penting ini dalam diri anggota-anggota untuk jadi pemimpin masa depan, dan semua ini kita garap dalam 10 konstruk kepimpinan dan 13 konstruk kemampuan. Semua ini ada di dalam KRS Musleh,” terangnya.

Beliau turut mengatakan bahawa Pegawai dan Ketua Pusat Latihan atau Kem Komandan adalah individu yang berkhidmat dengan KRSM dan atas sebab itu mereka perlu memberi khidmat kepada mana-mana pusat latihan lain tanpa mengira sempadan pagar fizikal yang membahagi sempadan kawasan sekolah. Beliau menyarankan semua institusi di bawah Pusat Pendidikan Al-Hidayah (PPAH) iaitu Sekolah Menengah Al-Hidayah (SMAH) dan Sekolah Rendah Al-Hidayah (SRAH) agar berganding bahu dan bekerjasama dalam memartabatkan KRSM agar ianya kembali gemilang seperti yang pernah dicapai satu masa dahulu.

“Kalau guru-guru lama mesti maklum. Sebut saja Al-Hidayah, Ipoh, mesti ramai tahu kehebatan Al-Hidayah Ipoh dalam acara Asas Pertahanan Diri (Basic Self-Defence-BaSeD) dan kawad kaki. Kecemerlangan ini perlu diulang semula,” kata beliau di hadapan semua lebih 300 pelajar dan guru-guru yang turut hadir.

Majlis turut diserikan dengan tayangan video dan persembahan BaSeD yang merupakan salah satu daripada modul yang perlu dilalui oleh setiap anggota dan pegawai KRSM. Abdul Rahaim turut mengucapkan tahniah kepada SRAH dan SMAH kerana menyahut seruan IKRAM Musleh untuk menjadi perintis kepada penubuhan pasukan pancaragam yang telah lama dihasratkan oleh pihak pusat.

“Dalam setiap pertemuan saya bersama dengan pengetua dan guru besar, sentiasa saya war-warkan perkara ini supaya sekolah rangkaian boleh mewujudkan satu pasukan pancaragam atau dipanggil juga brass band. Pasukan ini nanti sama seperti KRS Musleh, kita harap akan ditempatkan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Ini akan mmberikan satu lagi kekuatan dan kelebihan kepada PPAH untuk pergi lagi jauh. Maka PPAH sudah tentu akan menjadi perintis kepada penubuhan pasukan pancaragam di sekolah-sekolah yang lain,” katanya.

Pasukan pancaragam yang ditubuhkan ini nanti dijangka akan membuat persembahan sempena program Perkhemahan Internasional (PRINT) 2020 yang akan disertai oleh kira-kira 7000 orang peserta daripada seluruh dunia. Program PRINT 2020 berkenaan dijangka berlangsung pada Disember 2020.

Turut hadir dalam majlis berkenaan, Haji Hashim bin Abdul Karim, Pengerusi Lembaga Pengurusan PPAH, Mejar KRSM Tuan Soleh bin Senafi, Timbalan Pengerusi Unit Kokuriulum IKRAM Musleh dan KRS Musleh merangkap Pengarah PPAH, barisan Guru Penolong Kanan dan ahli sekretariat KRS Musleh. Majlis berakhir dengan sesi bergambar kenang-kenangan semua pelajar, guru dan jemputan.

Sumber berita: http://alhidayahperak.edu.my/

Menyemarakkan Pembelajaran Bermakna

Kuala Lumpur - "Pendidikan yang bermakna mestilah menjelaskan hala tuju kehidupan murid-murid. Murid-murid yang dididik harus mendapat visi tentang kehidupan mereka melalui pendidikan itu sendiri," ujar Puan Hajah Kamaliah Noordin, Timbalan Pengerusi IKRAM Musleh dalam pembentangan utamanya yang bertajuk Sekolah Rahmah: Ke Arah Pendidikan Yang Lebih Bermakna di sini semalam sempena Kolokium Kebangsaan Pendidikan Islam 2019 yang berlangsung sejak 21 Disember lalu yang telah dihadiri oleh kira-kira 200 orang peserta terdiri daripada ahli-ahli lembaga pengelola sekolah, pengetua-pengetua, guru besar-guru besar, para guru dan ibu bapa. 

"Antara hala tuju yang perlu dijelaskan seperti yang terkandung di dalam Al-Quran itu sendiri, dalam surah At-Tahrim, ayat ke-6, Allah telah berfirman supaya kita menjaga diri dan keluarga daripada neraka dan bahan bakarnya. Persoalannya, adakah pendidikan yang kita laksanakan di sekolah memberikan hala tuju untuk murid-murid menjaga diri mereka dunia dan akhirat? Inilah yang perlu kita nilai kembali. Jika anak-anak ini selepas tamat persekolahannya di tingkatan 5, namun mereka masih tidak ada visi yang jelas tentang kehidupan mereka pada masa akan datang, ini adalah sesuatu perkara yang sangat tidak memberangsangkan," jelas beliau.

Beliau juga berkata bahawa pendidikan bermakna itu mesti membawa kepada pengislahan diri. Murid-murid harus sentiasa terinspirasi untuk merubah diri mereka ke arah yang lebih baik. Seperti yang disebutkan oleh Luqman kepada anaknya dalam surah Luqman ayat ke-16 yang bermaksud; Wahai anakku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara baik sekalipun seberat biji sawi serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau di bumi; ia tetap akan dilihat oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalas).

"Dalam ayat ini, Luqman bukan hanya memberikan nasihat kepada anaknya bahkan dia juga memberikan harapan. Jika ada antara murid-murid kita yang bermasalah, adakah pendidikan kita hari ini memberi harapan kepada mereka atau kita buang mereka?" tanya beliau.

Beliau turut mengupas secara terperinci mengenai ciri-ciri pembelajaran bermakna di sekolah dan perbezaannya dengan pendidikan bermakna.

"Sesuatu pembelajaran itu bukan hanya menerangkan tentang fakta tetapi murid-murid boleh mentafsirkan fakta yang telah mereka pelajari kepada realiti dan apabila kita berbincang tentang nilai, murid-murid itu sendiri boleh menterjemahkannya dan mengaitkannya dengan tindakan dan mengaplikasinya dalam kehidupan seharian."

Selain itu, beliau juga menjelaskan konsep sekolah rahmah yang sedang di bawa oleh IKRAM Musleh di sekolah-sekolah kepada semua yang hadir.

"Rahmah ini adalah konsep kepunyaan orang Islam seluruhnya. Bukan milik kerajaan dan bukan juga retorik politik hari ini. Sebaliknya, konsep rahmah ini sudah ada sejak zaman Rasulullah lagi dan tetap ada hingga sekarang. Konsep inilah yang kita harus pegang sampai bila-bila," tegas beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, acara ini diadakan bertujuan untuk menyediakan satu platform bagi semua pihak berkongsi ilmu tentang aplikasi strategi pedagogi terkini, berkongsi amalan terbaik guru-guru dalam PdPc yang mengaplikasikan pedagogi terkini, berkongsi kajian penyelidikan ilmiah yang mampu merealisasikan transformasi pendidikan terkini serta berkongsi kajian tindakan yang sinonim dengan transformasi dan inovasi dalam pendidikan IR 4.0.

Sehari sebelum itu, acara yang berlangsung selama 2 hari ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK), Tan Sri Dr. Wan Mohd Zahid Mohd Noordin. Acara ini telah mengumpulkan kira-kira 20 kertas kerja berkaitan pendidikan Islam dan telah dibentangkan oleh kesemua penyelidik yang terdiri daripada guru-guru dari sekolah-sekolah rangkaian IKRAM Musleh dan juga guru-guru jemputan dari sekolah-sekolah kebangsaan yang lain. Pada sebelah malamnya pula, berlangsung ceramah perdana yang bertajuk Maqasid Syariah dan Konsep Rahmah oleh Ustaz Haji Alias Othman dan telah disiarkan secara langsung di laman facebook rasmi IKRAM Musleh bermula pada jam 8.00 malam.

Sementara itu, di sebelah pagi hari kedua, Dr. Shahrizal Sunar, pensyarah dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai telah menyampaikan pembentangan utamanya yang bertajuk "Augmented and Virtual Reality Application in Education" dan pada sebelah petangnya telah diserikan lagi dengan perkongsian khas daripada Pengerusi Jemaah Pengurusan Sekolah Pusat Pendidikan Al-Hidayah Perak, Tuan Haji Abdul Hashim Bin Abdul Karim PMP, AMN, AMP, mengenai 8 Prinsip Pengurusan yang Berkualiti bagi Mencapai Visi dan Misi Sekolah IKRAM Musleh.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan IKRAM merangkap Pengerusi IKRAM Musleh, Prof. Dr. Omar bin Yaakob, dan Pengarah Eksekutif IKRAM Musleh, Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor.

Membangun Diri untuk Membina Orang Lain

Kuala Lumpur – “Sebagai guru, kita mesti ada usaha untuk membangun diri dari segenap aspek supaya dengan itu, kita mampu untuk mentarbiah orang lain. Inilah yang dinamakan sebagai tarbiah dzatiyyah. Ia bukanlah dari aspek dalaman sahaja bahkan semua aspek luaran termasuk tingkah laku dan amalannya sendiri,” ujar Konsultan Pendidikan IKRAM Musleh, Sheikh Mohamed Abdulhamed Eliwa dengan terjemahan oleh Ustaz Abdul Muhaimin Mohd Sahar semasa berucap dalam Majlis Taklimat Tarbiah IKRAM Musleh 2019 yang dihadiri oleh para Pengurus Tarbiah, para pendidik dan staf sekolah-sekolah rangkaian dan rakan IKRAM Musleh di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak pada 11 Disember 2019 di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur.

Memetik surah Ali-Imran, ayat 164, beliau menjelaskan bahawa kalimah mengajarkan dan mensucikan diri dalam ayat itu adalah dalam bentuk ‘present tense’ yang bermaksud; sedang berlaku atau berterusan. Maka atas sebab itulah, para pendidik perlu terlebih dahulu membina dan menanam ciri-ciri tarbawi yang ingin dibina dalam diri murid ke dalam dirinya secara berterusan.

Mengambil ibrah dari kisah Imam Hassan Al-Banna yang pernah ditanya sama ada ingin menjadi ahli sufi yang soleh dan beruzlah memperbaiki diri atau menjadi orang yang mendidik dan bergaul dengan masyarakat, beliau berkata, Imam Hassan Al-Banna menjawab dia memilih pilihan kedua tetapi selepas selesai yang pertama sebab pilihan pertama juga penting sebagai bekalan untuk pilihan yang kedua. Ada orang bertanya kepadanya, bukankah pilihan pertama itu lebih mudah? Maka jawab Al-Banna; sesungguhnya mana-mana amal yang terhad pada dirinya sahaja adalah amal yang sedikit sebab kesannya hanya pada individu tetapi apabila beramal dalam masyarakat dan mendidik mereka, maka itulah amalan yang banyak sekali dan memberikan impak yang besar.

“Selain itu, para guru juga bertanggungjawab mendidik murid-murid di sekolah untuk membangunkan diri mereka. Contohnya, dalam menanam nilai mencintai solat. Di sekolah, murid-murid solat Zohor berjemaah. Begitu juga apabila dia pulang ke asrama, solat Asar dan seterusnya juga secara berjemaah. Namun, apabila dia pulang ke rumah, apa yang kita mahu adalah murid tersebut dengan sendirinya ingin solat. Kita tidak mahu dia hanya solat sebab dia berada di sekolah. Tetapi soalnya, bagaimana?” tanya beliau.

Beliau lantas menjelaskan beberapa prinsip penting bagi mendidik murid-murid supaya mereka juga ada rasa tanggungjawab untuk membangunkan diri mereka.

“Pertama sekali, prinsip qudwah hasanah. Murid-murid perlu lihat pada gurunya sifat-sifat itu telebih dahulu. 10 muwassofat tarbiah yang ingin dibina perlu terlebih dahulu dipraktikkan oleh para murabbi dan pendidik. Kerana apa? Sebab sesuatu perbuatan itu, walaupun ia tidak elok, tetapi apabila guru-guru buat, maka murid-murid akan buat. Begitu juga sebaliknya. Walaupun perbuatan itu baik, tetapi apabila guru-guru tidak buat, maka murid-murid takkan buat,” kata Sheikh Hamed.

“Atas sebab itu, amat penting sekali untuk para murabbi membangunkan diri mereka dari semua aspek khususnya 10 muwassofat tarbiah yang telah digariskan ini. Alangkah ruginya jika ciri-ciri ini hanya diambil berat oleh pihak pusat dan pihak pentadbiran sekolah tetapi tidak difahami oleh para guru di sekolah,” ujar beliau mengakhiri ucapannya.

 

Sebelum itu, majlis yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang itu turut diserikan pada sebelah pagi dengan perkongsian daripada seorang tokoh sejarawan yang tidak asing lagi, Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor dengan ucapannya yang bertajuk “Penyebaran Islam di Nusantara: Durus wa ‘Ibar Tarbawi dan Dakwah” serta perkongsian daripada Pengasas ARBA Travel & Tours Sdn Bhd, Ammar Roslizar, seorang tokoh usahawan muda yang lahir hasil didikan dari sekolah-sekolah rangkaian IKRAM Musleh berkenaan “Proses Pentarbiahan Rijal bagi Menjayakan Projek Ekonomi Ummah.”

Turut hadir dalam majlis yang diadakan secara tahunan berkenaan, Ustaz Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor, Pengarah Eksekutif IKRAM Musleh merangkap Ketua Unit Tarbiah IKRAM Musleh.