Dari Pejabat Pengerusi

Assalamualaikum wbt.

Pendidikan IKRAM Musleh Berhad dengan nama ringkasnya IKRAM Musleh adalah sebuah syarikat berhad menurut jaminan yang tidak mensasarkan keuntungan dalam usaha-usaha yang dipelopori olehnya. Sebagai sebuah jaringan sekolah Islam bersepadu, ia telah ditubuhkan pada 4 Mei 2000 dan didaftarkan di bawah Pendaftaran Syarikat dengan nombor pendaftaran 513402-W.

IKRAM Musleh menjalankan usaha-usaha untuk mengarusperdanakan pendidikan Islam melalui pendekatan berkualiti dan global. Di antara tindakan yang telah diambil ialah memurnikan kurikulum pendidikan Islam dengan menggabungkan metodologi pendidikan tradisional serta unjuran cabaran masa depan berdasarkan prinsip-prinsip Islam yang universal. Sukatan pelajaran dan latihan diperkayakan dengan sistem penyampaian dan pedagogi terkini. Ia dipantau dan dicerap secara profesional untuk memastikan keseragaman dan berkualiti.

IKRAM Musleh berperanan dalam menetapkan dasar dan polisi yang perlu dilaksanakan di sekolah-sekolah rangkaian namun memberikan kuasa autonomi kepada sistem pentadbiran sekolah dalam mentadbir dan menguruskan sekolah.

IKRAM Musleh menyediakan Sistem Pentaksiran Pelajar IKRAM Musleh (SPPIM) yang menggabungkan penilaian holistik dan berterusan. Syahadah SPPIM dianugerahkan kepada pelajar-pelajar yang berjaya dalam pendidikan mereka di Sekolah Rendah Islam (SRI) dan Sekolah Menengah Islam (SMI).

IKRAM Musleh juga menjalankan kursus dan latihan berterusan kepada para pendidik baik di sekolah rendah mahupun di sekolah menengah. Setelah tamat, mereka diberi Syahadah Perguruan IKRAM Musleh (SPIM). Ini adalah untuk memastikan bahawa para pendidik merupakan pendidik dan murobbi yang dihormati, disayangi serta berkesan dalam menjalankan tanggungjawab.

Sokongan dan sambutan dari masyarakat amat dialu-alukan bagi menjayakan sistem pendidikan Islam. Moga-moga Allah swt merahmati kita semua dengan hidayah dan taufiq-NYA.